‘Kit’ akhirnya berundur diri dengan sukarela

Lim Kit Siang
Lim Kit Siang
A
A
A

‘SAYA tidak akan bertanding lagi pada pemilihan parti kali ini dan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum akan datang sama ada kerusi Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri...”.

Begitulah antara kata-kata oleh pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang pada Kongres Kebangsaan parti itu pada Ahad dengan nada perlahan. Pengumuman beliau agak mengejutkan namun tidak pada sesetengah pemimpin kanan DAP.

Kit Siang ataupun lebih mesra dipanggil ‘Kit’ bagi kenalan yang rapat dengan beliau adalah antara pemimpin politik yang paling lama berkhidmat sebagai Ahli Parlimen.

Mula menjadi Ahli Parlimen Bandar Melaka pada tahun 1969, beliau turut menjadi pemimpin politik yang kerap kali bertukar kawasan. Antara kawasan yang dimenanginya selain Bandar Melaka ialah Kota Melaka, Petaling Jaya, Tanjong, Ipoh Timur dan terakhir, Gelang Patah.

Ketika usianya yang kini menjangkau 82 tahun, Kit Siang sejak beberapa tahun kebelakangan ini berada dalam keadaan ‘separuh bersara’. Beliau tidak lagi banyak membuat kenyataan akhbar. Begitu juga ketika di Parlimen. Beliau lebih suka mendiamkan diri.

Setelah bergelumang dalam arena politik tanah air selama 56 tahun, beliau pernah dipuji dan dikeji. Popularitinya jelas merosot sejak akhir-akhir ini.

DAP dan ramai pemimpin kanan parti, termasuk beliau menerima kecaman kerana tidak melunaskan janji sepanjang tempoh menjadi sebahagian daripada kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan.

Musuh politiknya mahupun masyarakat umum rata-ratanya mahu Kit Siang melepaskan semua jawatannya dalam politik.

Artikel Berkaitan:

Kini semunya telah berakhir. Anaknya, Guan Eng turut melepaskan jawatan Setiausaha Agung pada Ahad. Tamatlah sudah ‘Dinasti Lim’. DAP bakal meneruskan perjuangan tanpa dibayangi kelibat anak-beranak itu lagi.