Sasar RM4.2 juta untuk bantu pelarian Syria sepanjang Ramadan

Bekas pengacara, Nizal Muhammad (kiri) berkongsi pengalaman melakukan kerja amal di Syria pada sesi sembang santai Majlis 'Charity Breakfast' Syria Care pada Ahad. (Gambar kecil: Nurdieana)
Bekas pengacara, Nizal Muhammad (kiri) berkongsi pengalaman melakukan kerja amal di Syria pada sesi sembang santai Majlis 'Charity Breakfast' Syria Care pada Ahad. (Gambar kecil: Nurdieana)
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Syria Care Malaysia menyasarkan sejumlah RM4.2 juta bagi mengumpul dana bantuan untuk diagihkan kepada 735,000 pelarian Syria menerusi Kempen Ramadan Al Khair.

Ketua Pegawai Strategik Syria Care, Nurdieana Mohd Mardzi berkata, sasaran tersebut tidak mustahil untuk dicapai dengan adanya kebersamaan orang ramai yang mahu membantu pelarian Syria.

“Setakat hari ini jumlah kutipan yang diperoleh agak perlahan, tetapi kita faham sebab beberapa isu di Malaysia seperti pandemik Covid-19 dan banjir yang berlaku baru-baru ini.

"Jadi kalau boleh kita ingin menggalakkan orang ramai sekiranya ada rasa tanggungjawab untuk membantu golongan memerlukan terutama di Syria, boleh berbuat demikian menerusi salurkan sumbangan kepada Syria Care,” katanya ketika ditemui selepas Majlis ‘Charity Breakfast’ Syria Care di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut Nurdieana berkata, terdapat dua jenis pakej bantuan makanan yang ditawarkan iaitu set iftar berharga RM15 dan sekotak pek makanan kering berharga RM150 yang mengandungi barangan asas antaranya beras, gandum, minyak masak, roti, gula dan garam.

Katanya, kedua-dua pakej bantuan makanan tersebut boleh disalurkan menerusi penggunaan OrderFood di laman web Syria Care dan akan dihantar terus ke Syria.

“Lokasi agihan kempen kali ini merangkumi tiga negara iaitu Syria, Lubnan dan Turki yang mempunyai ramai pelarian Syria yang hidup dalam keadaan daif serta serba kekurangan.

“Orang ramai yang mahu membuat sumbangan boleh menempah menerusi ‘OderFood’ di laman web www.syriacare.org.my/oderfood/ dan makanan berkenaan akan terus dihantar ke sana,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Nordieana turut menyuarakan kebimbangan berikutan dana yang menjadi perkara asas untuk menggerakkan kerja-kerja kemanusiaan menyusut akibat kuasa memberi rakyat berkurangan.

“Bagaimanapun, Alhamdulillah sumbangan masih diterima dan kami berharap OderFood ini mendapat sambutan sekali gus memberi kegembiraan kepada rakyat Syria khususnya di bulan Ramadan nanti," ujarnya..

Orang ramai juga boleh menghubungi talian 011-37030900 bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan Kempen Ramadan Al Khair atau untuk menyalurkan sumbangan dalam skala besar.