Sultan Sallehuddin bangga Kedah catat pelaburan RM68.3 billion

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menzahirkan rasa bangga atas kejayaan Kedah mencatatkan nilai pelaburan sebanyak RM68.3 billion bagi tahun 2021 di sebalik krisis pandemik Covid-19.

Sultan Sallehuddin bertitah, pelaburan terbabit merupakan satu sejarah dan rekod baharu untuk jumlah pelaburan yang masuk ke negeri Kedah.

"Beta percaya kejayaan ini adalah hasil jalinan kerjasama erat antara kerajaan Negeri, Kulim Technology Park Corporation (KTPC), Invest Kedah Berhad dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta pemain-pemain industri lain dalam menarik pelaburan luar.

"Ini membuktikan Kedah menjadi destinasi pilihan bagi pelabur," titah Sultan Sallehuddin sempena Istiadat Perasmian Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Tahun 2022 di Istana Anak Bukit, di sini, yang berlangsung secara dalam talian menerusi Facebook pada Ahad.

Baginda bertitah, pelaburan ini telah melebihi sasaran yang ditetapkan dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035 sebanyak RM 10 billion setahun.

"Tahniah beta ucapkan. Namun begitu, kita janganlah terlalu selesa dan leka dengan angka ini. Usaha-usaha berterusan haruslah digandakan agar pelaburan masuk dapat ditingkatkan di Kedah Rubber City (KRC), Special Border Economic Zone Bukit Kayu Hitam (SBEZ), Kawasan Industri Gurun, dan Kedah Aerotropolis," titah Baginda.

Sultan Sallehuddin berharap agar dengan jumlah pelaburan yang besar ini dapat meningkatkan taraf hidup rakyat agar setanding dengan negeri-negeri maju di negara ini.

Sultan Sallehuddin turut menzahirkan ucapan tahniah kepada kerajaan Negeri kerana berjaya memperoleh kutipan hasil sebanyak RM 688.04 juta pada tahun 2021.

Artikel Berkaitan:

Baginda bertitah, ini membuktikan bahawa hasrat kerajaan negeri semasa melaksanakan Belanjawan 2021 bertemakan ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’ telah berjaya direalisasikan.

"Beta berharap pencapaian cemerlang ini akan diteruskan bagi tahun 2022 bagi mencapai jangkaan anggaran hasil RM 725 juta.

"Justeru, beta mengingatkan agar setiap hasil yang dikutip, dibelanjakan dengan cara yang betul dan berhemah supaya prinsip ‘value for money’ dapat dipraktikkan," titah Baginda.

Sultan Sallehuddin menyambut baik komitmen kerajaan Negeri dalam memacu pertumbuhan ekonomi negeri agar lebih lestari, mampan dan berdaya saing seperti yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035.

Dalam pada itu, Baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang terus membantu kerajaan Negeri dalam menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur dan utiliti kepada rakyat.

"Antaranya adalah seperti, pemulihan aktiviti ekonomi tempatan, pembinaan rangkaian jalan raya, menaik taraf jalan raya negeri dan jambatan, rancangan tebatan banjir, naik taraf sistem saliran dan loji rawatan air, serta projek pembaikan paip dasar laut, dari Tanah Besar ke Pulau Langkawi," titah Sultan Sallehuddin.