Jati diri, darah saya darah UMNO: Ismail Sabri

Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Ismail Sabri menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur pada Sabtu. - Foto Bernama
Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Ismail Sabri menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] "Jati diri saya adalah jati diri UMNO. Siapalah Ismail Sabri tanpa tuan-tuan dan puan-puan,” demikian ucap Perdana Menteri pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 pada Sabtu.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang juga Naib Presiden UMNO berkata, disebabkan itu beliau tidak akan membiarkan obor perjuangan UMNO malap, tapi terus menyala dan membakar semangat perjuangan bersama.

"Oleh itu, apa saja keputusan kita dalam kabinet, saya akan pastikan pandangan dan suara UMNO diberikan keutamaan, demi menjaga kepentingan rakyat.

"Suka saya tegaskan, saya orang parti! Darah saya darah UMNO! Perjuangan saya adalah untuk UMNO!" katanya dalam ucapan penggulungan Naib Presiden UMNO pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO di sini pada Sabtu.

Ismail Sabri berkata, tidak mungkin berada di atas pentas Perhimpunan Agung UMNO sebagai Naib Presiden dan Perdana Menteri tanpa berkat doa serta sokongan penuh ahli-ahli UMNO.

Perhimpunan tahunan parti kali ini merupakan yang pertama selepas Ismail Sabri menerajui kerajaan campuran Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) selepas mengambil alih tampuk kepimpinan negara pada Ogos 2021.

"Terima kasih kepada Presiden, Timbalan Presiden, Ahli-Ahli Majlis Tertinggi dan Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional yang sebulat suara mencalonkan saya sebagai Perdana Menteri, disokong oleh kepimpinan UMNO Negeri, Bahagian dan Cawangan," kata Ketua UMNO Bahagian Bera itu.

Ismail Sabri berkata, sejak BN kembali memimpin kerajaan, banyak kejayaan dicapai dan semua perkara yang diputuskan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 27 Ogos tahun lepas dilaksanakan dengan dukungan rakan-rakan kabinet UMNO.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kejayaan itu meliputi kerjasama dan permuafakatan rentas parti selain memberi fokus kepada usaha menangani Covid-19 termasuk vaksinasi menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids).

Perdana Menteri berkata, tiada paksaan untuk menerima dos penggalak kepada golongan dewasa dan kanak-kanak, sebaliknya kerajaan menggalakkan pengambilannya bagi melindungi Keluarga Malaysia.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, laporan interim berhubung siasatan terhadap pendedahan buku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas akan dibentang bulan depan dan tindakan bakal diambil sekiranya terdapat penyalahgunaan kuasa serta konspirasi terpilih.

Mengenai kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, Perdana Menteri berkata, walaupun siasatan masih berjalan, kerajaan telah membayar ex gratia berjumlah RM1.5 juta kepada keluarga Allahyarham pada 29 November lepas seterusnya membuktikan kesungguhan UMNO membela nasib rakyat.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji dijangka dapat diselesaikan hujung Julai ini.

Ketika menyentuh isu kemiskinan, Perdana Menteri yang mengakui lahir daripada keluarga miskin ternyata tidak dapat menahan sebak dan sedih beliau.

"Saya anak penoreh getah. Saya merasai dan memahami apa erti kesusahan sebab itulah agenda basmi kemiskinan menjadi keutamaan saya," katanya.

Sehubungan itu, beliau berjanji akan memastikan agenda UMNO untuk memperkasa kaum bumiputera dijayakan.

"Selagi hayat dikandung badan, nasib Melayu dan bumiputera akan saya perjuangkan," kata Ismail Sabri. - Bernama