Sabah pegang 30 peratus projek perladangan kelapa di Paitan

Hajiji (kiri) mendengar penerangan daripada Joe Ling (kanan) mengenai buah kelapa Linaco pada majlis pelancaran Ladang Kelapa Linaco pada Sabtu. Turut sama Dr Jeffery Kitingan. - Foto Bernama
Hajiji (kiri) mendengar penerangan daripada Joe Ling (kanan) mengenai buah kelapa Linaco pada majlis pelancaran Ladang Kelapa Linaco pada Sabtu. Turut sama Dr Jeffery Kitingan. - Foto Bernama
A
A
A

BELURAN - Kerajaan Sabah akan memegang 30 peratus kepentingan dalam perladangan kelapa berhasil tinggi bernilai RM400 juta dan projek kemudahan pembuatan berasaskan kelapa yang dibangunkan oleh Linaco Resources Sdn Bhd di Paitan di sini, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata, kerajaan negeri menyediakan 2,000 hektar tanah untuk projek berimpak tinggi itu yang dijangka menyumbang kira-kira RM1.2 bilion setahun kepada ekonomi negeri Sabah.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, di bawah projek itu yang merupakan sebahagian daripada inisiatif pelaburan Sabah Maju Jaya (SMJ), Linaco akan menyediakan semua infrastruktur yang diperlukan untuk projek tersebut, ia dijangka menyediakan lebih daripada 4,000 peluang pekerjaan sebaik sahaja beroperasi sepenuhnya pada tahun 2026.

"Projek bernilai RM400 juta ini sudah pasti memberi impak besar dengan jangkaan pendapatan tahunan sebanyak RM1.5 bilion, sudah pasti limpahan ekonomi akan mengubah Paitan dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada Paitan dan komuniti berhampiran,” katanya ketika melancarkan projek itu di tapak ladang tersebit di sini pada Sabtu.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah dan Pengarah Eksekutif Linaco Joe Ling.

Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara kerajaan negeri dan Linaco Resources Sdn Bhd untuk membangunkan industri berasaskan kelapa Sabah pada Mac tahun lalu dan Linaco melabur RM200 juta untuk pembangunan ladang kelapa berhasil tinggi dan RM200 juta lagi untuk kemudahan pembuatan berasaskan kelapa.

Ketua Menteri Sabah itu memberi jaminan bahawa, kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan memacu agenda pembangunannya untuk membawa kemajuan kepada Sabah dan rakyatnya apabila sejumlah RM561.81 juta telah diperuntukkan kepada sektor pertanian yang merupakan satu daripada tiga teras utama SMJ dalam Belanjawan Negeri tahun ini.

Beliau berkata, Sidang Kemuncak Perniagaan dan Ekonomi Antarabangsa Sabah (SIBES) 2022 pada Januari tahun ini juga telah mencetuskan minat bukan sahaja dalam kalangan pelabur tempatan tetapi juga pelabur asing mengenai potensi pelaburan Sabah.

Artikel Berkaitan:

"Masih banyak lagi yang perlu kita lakukan untuk meneruskan pemulihan ekonomi. Saya yakin kita akan berjaya membawa kemakmuran kepada Sabah dan rakyat jika kita kekal bersatu di bawah satu agenda pembangunan," katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, pada 29 Mac depan, ia akan menjadi tarikh ulang tahun pertama Hala Tuju SMJ, pelan hala tuju pembangunan Sabah dan di sebalik banyak cabaran yang dihadapi terutamanya pandemik Covid-19, kerajaan negeri GRS kekal teguh untuk meneruskan pelaburan dan berjaya membawa dalam tiga pelaburan utama termasuk Linaco ke Sabah. - Bernama