Polis Kelantan perketat kawalan sempadan

Shafien (kanan) menyampaikan hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah motosikal kepada penerima semasa program kayuhan basikal amal sempena Sambutan Hari Polis Ke-215 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu pada Sabtu.
Shafien (kanan) menyampaikan hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah motosikal kepada penerima semasa program kayuhan basikal amal sempena Sambutan Hari Polis Ke-215 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan akan memperketatkan lagi rondaan dan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini menjelang pembukaan semula sempadan negara bermula 1 April ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, kawalan itu melibatkan kerjasama dari Pasukan Polis Marin (PPM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi mengelakkan aktiviti rentas sempadan secara haram menggunakan laluan tidak sah yang terdapat di sepanjang kawasan sempadan.

"Selain itu, saya turut mengarahkan Ketua-ketua Polis Daerah di kawasan sempadan untuk memperketatkan lagi kawalan.

"Hal ini kerana berkemungkinan besar prosedur operasi standard (SOP) untuk merentas negara yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat agak ketat dan akan ada cubaan merentas sempadan menggunakan pangkalan haram," katanya kepada pemberita pada program kayuhan basikal amal sempena Sambutan Hari Polis Ke-215 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Sabtu.

Menurutnya, sebagai 'amaran', orang ramai diingatkan supaya tidak menggunakan pangkalan-pangkalan haram untuk merentas sempadan.

Beliau berkata, hal ini kerana pihak berkuasa kedua-dua negara (Malaysia-Thailand) sentiasa berada di mana-mana kawasan dalam memastikan kawalan sempadan negara terus diperketatkan.

Shafien berkata, PPM sentiasa bertukar-tukar maklumat berkait isu sempadan dengan pihak berkuasa negara berkenaan.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak terlalu ghairah untuk merentas sempadan sebaliknya pantau situasi semasa Covid-19 sebelum membuat sebarang keputusan.

Artikel Berkaitan: