Runtuhan kuari: Titik kedudukan mangsa tertimbus dikenal pasti

Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan di lokasi mangsa dipercayai terperangkap dalam runtuhan kuari di Simpang Pulai. - Foto ihsan JBPM Perak
Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan di lokasi mangsa dipercayai terperangkap dalam runtuhan kuari di Simpang Pulai. - Foto ihsan JBPM Perak
A
A
A

IPOH - Pasukan penyelamat berjaya mengesan satu 'spot' (titik) yang dikenal pasti kedudukan dua mangsa yang tertimbus dalam runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands di sini pada Sabtu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, titik seluas sembilan meter persegi itu dipercayai merupakan kedudukan mangsa yang terperangkap.

"Pihak kuari mencadangkan untuk melakukan penggalian di 'spot' sedalam 11 meter itu dengan menggunakan mesin gerudi.

"Kerja-kerja itu dipantau sepenuhnya oleh Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat Malaysia (STORM) dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART)," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, operasi yang memasuki hari ke-12 itu diteruskan dengan membuat pemantauan dan keselamatan bagi kerja-kerja pengalihan batu.

"Kerja pembersihan dan membuka jalan hingga ke bahagian belakang runtuhan masih diteruskan dengan menggunakan dua jengkaut," katanya.

Dalam kejadian sekitar pukul 9.15 pagi Selasa minggu lalu, dua mangsa yang tertimbus runtuhan batu dikenali sebagai Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.

Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan.

Artikel Berkaitan: