Juliza berjuang melawan penyakit demi segulung ijazah

Juliza membuktikan penyakit yang dihadapi bukan penghalang untuk dia berjuang demi mengenggam segulung ijazah.
Juliza membuktikan penyakit yang dihadapi bukan penghalang untuk dia berjuang demi mengenggam segulung ijazah.
A
A
A

KUANTAN - Berdepan dugaan masalah penyakit asma kronik bukan penghalang bagi seorang graduan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Juliza Ameruddin, 36 untuk terus berjuang dalam tempoh yang panjang demi mengenggankan segulung ijazah.

Perjuangannya selama 11 tahun itu membuahkan hasil apabila dia akhirnya menerima ijazah yang diidamkan pada Majlis Konvokesyen UMP Ke-15 di Dewan Jubli perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Jumaat.

Juliza terpaksa hadir ke majlis konvokesyen menggunakan alat bantuan pernafasan ekoran keadaan penyakit asmanya semakin kronik.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Teknologi Grafik dan Multimedia) itu kini terpaksa bergantung dengan tong gas oksigen bagi membantu pernafasannya.

Juliza berkata, dia disahkan mengidap penyakit Brittle Asthma sejak tahun 2007 dan keadaannya semakin kronik pada tahun 2010 sehingga terpaksa diintubasi sebanyak 115 kali di hospital.

Menurutnya, pada tahun 2009 dia mendaftar mengikuti pengajian di UMP dan keadaannya ketika itu masih sihat sehinggalah pada tahun ketiga pengajian keadaan penyakitnya semakin kronik hingga lumpuh dan menerima kad Orang Kurang Upaya (OKU).

“Sejak itu saya kerap menangguhkan pengajian namun semangat untuk belajar tidak pernah padam.

“Saya terharu apabila UMP telah memberi peluang untuk menyambung pengajian setelah menangguh pengajian selama enam tahun kerana masalah kesihatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Anak sulung dari lima beradik itu berkata, kejayaan yang dikecupinya itu atas sokongan dan dorongan dari orang sekelilingnya yang banyak membantu terutama pihak UMP, keluarga dan rakan-rakan.

“Sepanjang pengajian, UMP banyak membantu dari segi kewangan, logistik untuk kelas, memberi ruang perniagaan di dalam kampus dan banyak lagi.

Juliza menerima ijazah yang disampaikan Tan Sri Dr Abi Musa Asaari dalam Majlis Konvokesyen UMP Kali Ke-15 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah bagi sesi ketiga pada Jumaat.
Juliza menerima ijazah yang disampaikan Tan Sri Dr Abi Musa Asaari dalam Majlis Konvokesyen UMP Kali Ke-15 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah bagi sesi ketiga pada Jumaat.

“Pihak fakulti juga banyak membantu sepanjang pengajian saya dengan menyediakan kelas secara dalam talian.

“Selepas tamat pengajian pada Januari 2021, saya ditawarkan bekerja di UMP Holdings sebagai Pembantu Strategik Korporat, namun selepas setahun, saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan atas masalah kesihatan dan menumpukan kepada perniagaan makanan yang diusahakan,” katanya.

Anak jati Kuala Lumpur ini turut mengimbas kenangan sewaktu berada di hospital di mana pernah satu ketika keadaan penyakitnya sangat kritikal seolah tiada harapan untuk sembuh.

“Namun, berkat kesabaran dan doa semua, Alhamdulillah saya masih diberi peluang untuk bernafas sehingga kini.

“Sumber inspirasi dan kekuatan saya sudah tentulah daripada bapa, Ameruddin Zakaria dan ibu, Nuraini Mat Piah yang telah banyak berkorban dalam membesarkan saya sehingga berjaya,” ujarnya.

Juliza menerima ijazah yang disampaikan oleh Pro-Canselor UMP, Tan Sri Dr Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor dalam Majlis Konvokesyen UMP Kali Ke-15 bagi sesi ketiga pada Jumaat.