Lelaki warga emas ditemukan lemas selepas lebih 24 jam hilang

SAR dilakukan oleh pasukan menyelamat. - (Foto bomba)
SAR dilakukan oleh pasukan menyelamat. - (Foto bomba)
A
A
A

JEMPOL - Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar rumah ditemukan lemas diSungai Mahsan, Bahau di sini pada Jumaat oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Ketua Polis daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa berusia 65 tahun disedari hilang oleh anaknya pada jam 1.30 pagi Khamis.

"Pada jam 4.30 pagi anaknya mendapat panggilan telefon daripada bapa saudaranya yang memaklumkan menjumpai kasut, cermin mata dan telefon bimbit bapanya di tepi Sungai Mahsan sebelum membuat laporan polis," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pada jam 9 pagi membabitkan pasukan Bomba dan Penyelamat, Balai Bahau, Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Jempol dan pasukan bantuan daripada Forensik Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Negeri Sembilan.

Chang Hook memberitahu, operasi pencarian diteruskan melalui sungai sepanjang dua kilometer namun tidak menemui mangsa.

"Pasukan menyelamat kemudian menggunakan anjing pengesan bagi mengesan mangsa namun gagal menemuinya. Operasi ditamatkan pada jam 6 petang berikutan cuaca buruk dan atas faktor keselamatan.

"Operasi disambung pada jam 9.50 pagi tadi (Jumaat) turut disertai lima anggota bomba Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

"Bagaimanapun pada jam 4.55 petang pasukan mencari menjumpai satu mayat disyaki mangsa yang hilang iaitu kira-kira lima kilometer dari pos kawalan operasi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Chang Hook berkata, mayat yang ditemui disahkan mangsa yang dilaporkan hilang berdasarkan pengecaman dibuat waris mangsa.

"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Jempol bagi bedah siasat serta siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.