Penolong pengurus syarikat ditahan maki polis

Seorang penolong pengurus syarikat ditahan kerana mengeluarkan kata-kata kesat dan memaki anggota polis. - Gambar hiasan
Seorang penolong pengurus syarikat ditahan kerana mengeluarkan kata-kata kesat dan memaki anggota polis. - Gambar hiasan
A
A
A

PETALING JAYA - Tindakan seorang lelaki membuang kertas saman yang dikeluarkan kepadanya serta mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis membawa padah apabila ditahan di hadapan sebuah stesen minyak di Kampung Kayu Ara, Damansara di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek yang bekerja sebagai penolong pengurus syarikat swasta itu ditahan anggota polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) IPD Petaling Jaya, kira-kira jam 10.40 pagi.

"Anggota polis bertugas telah menahan suspek yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan ketika kejadian.

"Pemeriksaan dijalankan mendapati suspek tidak mempunyai lesen memandu kelas B2," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, anggota polis kemudiannya mengeluarkan saman ke atas suspek atas kesalahan tersebut.

"Bagaimanapun lelaki terbabit bertindak membuang kertas saman selain meninggikan suara serta menjerit kepada anggota polis kerana tidak berpuas hati dengan tindakan saman tersebut," katanya.

Menurutnya, anggota polis bertugas cuba menenangkan suspek namun tidak diendahkan.

"Lelaki itu dinasihatkan supaya bertenang namun tidak dipedulikan, sebaliknya mengeluarkan kata-kata kesat kepada polis.

Artikel Berkaitan:

"Suspek kemudiannya diberkas untuk tindakan lanjut dan akan direman pada Sabtu untuk siasatan lanjut," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.