X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

SOP baharu solat jemaah di masjid, surau Pulau Pinang

MAINPP akan mengeluarkan SOP baharu solat jemaah di masjid dan surau dalam tempoh terdekat selaras dengan Fasa Peralihan Endemik.
A
A

GEORGE TOWN - Pulau Pinang akan mengambil kira langkah menangani COVID-19 selaras dengan Fasa Peralihan Endemik, dalam menentukan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu berkaitan aktiviti solat jemaah termasuk terawih, di masjid dan surau dalam tempoh terdekat.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 berkata, pihaknya akan mengeluarkan SOP yang baharu berkaitan aktiviti solat jemaah di masjid dan surau dalam tempoh terdekat, selaras dengan Fasa Peralihan Endemik menjelang 1 April depan.

"Ia (SOP baharu) sedang didrafkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) bersama agensi berkaitan, dan akan dikeluarkan tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Pada Khamis, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail dilaporkan berkata, solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal dibenarkan di semua surau dan masjid di Wilayah Persekutuan, selaras dengan negara memasuki Fasa Peralihan Endemik pada 1 April ini.

Mohd Ajib dilaporkan berkata, kebenaran merapatkan saf itu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan berdasarkan pelaksanaan garis panduan serta SOP bagi aktiviti ibadat di masjid dan surau.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bermula 1 April aktiviti solat jemaah di masjid dan surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam, boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat susulan pengumuman bahawa Malaysia akan memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik bermula bulan hadapan. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!