Kerajaan Selangor agih pelbagai bantuan kepada mangsa banjir

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada mangsa banjir besar selain daripada Bantuan Selangor Bangkit (BSB) yang sedang diagihkan pada masa ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif itu merangkumi pembaikan kediaman, bantuan segera kerja pembersihan dan menyelaras bantuan daripada badan bukan kerajaan.

Katanya, bantuan juga termasuk kerja-kerja pembaikan infrastruktur awam serta menyelaras bantuan daripada kerajaan Persekutuan bagi meringankan beban mangsa banjir.

"Kami membantu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi membangunkan semula rumah rosak.

"Pada masa sama turut menyelaraskan sokongan program yang telah diisytiharkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS)," katanya.

Beliau menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli yang bertanyakan mengenai inisiatif lain ditawarkan kerajaan Selangor selain BSB kepada mangsa banjir dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, pada Jumaat.

Amirudin berkata, namun setakat ini pihaknya masih belum mendapatkan sebarang sokongan bagi baik pulih kedai rosak akibat banjir.

Kata beliau, namun melalui Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) dan beberapa institusi lain beliau percaya lebih banyak tawaran tertentu diberikan bagi membantu usahawan dan mereka yang terjejas banjir.

Artikel Berkaitan:

"Malah pada musim perayaan ini, Hijrah menawarkan pelbagai program jangka masa pendek.

"Program ini bagi membantu usahawan atau peniaga meneruskan perniagaan mereka, memulakan modal perniagaan, membaiki atau memulakan perniagaan yang musnah akibat banjir," katanya.

Tambah beliau, bantuan turut diberikan kepada petani, pesawah dan nelayan yang terjejas banjir.

"Untuk rekod kerajaan negeri memberikan bantuan awal seramai 250 petani terjejas banjir dengan nilai bantuan sebanyak RM500,000.

"Di peringkat kerajaan Persekutuan pula bagi kejadian banjir Oktober dan November jumlah peruntukan disalurkan kepada 28 petani sebanyak RM202,000 dan banjir besar melanda negeri ini pada Disember tahun lalu telah disalurkan kepada 373 petani dengan jumlah keseluruhan peruntukan bernilai RM4.1 juta," katanya.