Jangan ambil remeh panggilan Harimau Malaya

Pengendali baharu Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengadakan kem latihan pusat skuad kebangsaan di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - Foto FB FAM
Pengendali baharu Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengadakan kem latihan pusat skuad kebangsaan di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - Foto FB FAM
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) harus mengeluarkan satu garis panduan berhubung hukuman yang akan dikenakan kepada mana-mana pemain yang enggan menyahut panggilan untuk mewakili skuad kebangsaan.

Bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hasan berkata, ketiadaan garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) yang jelas ketika ini menjadi punca sesetengah pemain mengambil remeh panggilan menyertai Harimau Malaya.

Beliau menegaskan, masalah sama akan terus berulang pada masa akan datang sekiranya perkara tersebut tidak diambil tindakan dengan segera sehingga mencalarkan imej bola sepak Malaysia.

“Kalau dari dulu kita ada garis panduan mengenai hukuman yang dikenakan kepada pemain-pemain yang menolak panggilan untuk menyertai pasukan kebangsaan, saya rasa perkara seperti ini tidak akan berlaku.

“Sebab kalau kita lihat sebelum ini ada beberapa pemain yang menolak mewakili skuad kebangsaan tetapi mereka tidak didenda. Jadi ia akan menyebabkan pemain lain juga tidak takut untuk berbuat demikian kerana beranggapan mereka tidak dihukum.

“Jika perkara ini berlarutan, saya rasa imej pemain-pemain Malaysia juga akan tercalar di peringkat antarabangsa. Apatah lagi sekarang ini kita mempunyai jurulatih luar yang sangat titik beratkan isu disiplin,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Awal minggu ini, isu pemain pertahanan Sabah FC, Rizal Ghazali yang menolak pelawaan mengikuti kem latihan pusat Harimau Malaya di Stadium Nasional, Bukit Jalil mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan peminat.

Jika Rizal masih gagal memberikan alasan kukuh sebaik kalendar Perlawanan Antarabangsa FIFA dibuka dari 21 hingga 29 Mac ini, dia boleh dikenakan tindakan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Artikel Berkaitan:

Antara hukuman yang bakal menanti bekas pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC itu termasuklah dikenakan penggantungan beberapa perlawanan selain didenda RM25,000.

“Bagi saya, ia satu penghormatan yang tinggi kepada mana-mana pemain sekiranya dipanggil mewakili skuad kebangsaan kerana bukan semua orang akan dapat peluang tersebut.

“Sebab kita sebagai individu yang lahir di bumi tercinta Malaysia ini, sudah tentu ada niat dalam diri setiap pemain untuk mengharumkan nama negara di pentas dunia.

“Jadi saya berharap selepas ini mana-mana pemain yang dipanggil, sahutlah seruan tersebut dan jangan tolak tanpa alasan yang munasabah,” tegas Wan Jamak.