NIOSH tawar penaksiran kualiti udara dalaman percuma kepada IKS

Wilson Ugak
Wilson Ugak
A
A
A

SHAH ALAM - Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menawarkan perkhidmatan taksiran asas Kualiti Udara Dalaman (KUD) secara percuma kepada syarikat kategori kecil dan sederhana (IKS).

Pengerusi NIOSH, Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong berkata, tawaran menerusi program Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) itu melibatkan lebih 300 syarikat IKS seluruh negara dan pemeriksaan awal di tempat kerja akan dijalankan oleh pakar teknikal institut itu.

“Laporan pemeriksaan awal di tempat kerja dan pemantauan asas KUD akan disediakan dengan cadangan penambahbaikan serta aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di tempat kerja.

“Pihak terlibat digesa untuk menghubungi NIOSH segera bagi mendapatkan perkhidmatan penaksiran asas KUD,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pengudaraan di tempat kerja merupakan antara aspek mustahak di samping prosedur operasi standard (SOP) yang lain bagi membendung penularan Covid-19 dan mutasi yang berpotensi muncul.

Justeru katanya, pemilik syarikat kategori berkenaan disaran untuk merebut peluang ini bagi menjamin keselamatan selain mengelak penyebaran wabak Covid-19 di tempat kerja.

“Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara juga telah memberikan penjelasan berkaitan KUD, penyebaran Omicron dan sistem pengudaraan dalaman.

“Oleh yang demikian, tindakan proaktif perlu diambil oleh semua syarikat perniagaan supaya masalah ini dapat ditangani pada peringkat awal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebarang pertanyaan katanya boleh ditujukan kepada NIOSH melalui emel rasmi cmc@niosh.com.my.