SOP baharu umrah jamin keselamatan bersama

PIC yang dilantik akan membuat pemantauan semasa jemaah berada di Tanah Suci, perjalanan balik dan ketika di pintu masuk antarabangsa Malaysia. (Gambar kecil: Ida Riswana, Zainal Ariffin)
PIC yang dilantik akan membuat pemantauan semasa jemaah berada di Tanah Suci, perjalanan balik dan ketika di pintu masuk antarabangsa Malaysia. (Gambar kecil: Ida Riswana, Zainal Ariffin)
A
A
A

SHAH ALAM - Selepas beberapa kali berdepan dengan penangguhan sementara kebenaran perjalanan umrah susulan peningkatan varian Omicron dalam kalangan jemaah yang pulang dari Arab Saudi, agensi syarikat pengendali umrah kini lega apabila kerajaan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi ibadah berkenaan berkuat kuasa 14 Februari lalu.

Kebenaran itu bagaikan memberi harapan baharu kepada syarikat pengendali umrah yang hampir lumpuh selepas sepanjang tempoh dua tahun terpaksa menghentikan operasi susulan pandemik Covid-19 melanda dunia termasuk Malaysia.

Keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 Januari lalu membenarkan semula perjalanan umrah bagi jemaah dari Malaysia bermula 8 Februari selepas kira-kira sebulan menggantung sementara perjalanan ke Tanah Suci ibarat memberi kembali nyawa kepada syarikat-syarikat terlibat.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam satu sidang akhbar baru-baru ini berkata, antara SOP baharu itu adalah keperluan orang yang dipertanggungjawabkan atau Person Incharge (PIC) daripada agensi pelancongan untuk memantau kepatuhan jemaah umrah.

Beliau berkata, pemantauan itu adalah semasa jemaah berada di Tanah Suci, perjalanan balik dan ketika di pintu masuk antarabangsa Malaysia.

Menjelaskan lebih lanjut, Hishammuddin berkata, PIC turut serta dengan jemaah sekiranya melebihi 40 orang, atau disediakan bagi setiap tempoh tersebut untuk jumlah jemaah kurang daripada 40 orang.

SOP lain yang turut ditetapkan adalah mewajibkan dos penggalak dan membenarkan menjalani kuarantin wajib di tempat kediaman tanpa memohon kelulusan Home Quarantine Application (HQA).

Bagaimanapun, jemaah dibenarkan menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin swasta dengan kos penginapan, makan minum dan rawatan ditanggung sendiri.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) juga telah mengatur sesi latihan tenaga pengajar (ToT) mengenai SOP baharu umrah kepada semua syarikat pengendali yang diiktiraf kementerian berkenaan.

MOTAC dalam kenyataan berkata, sesi berlangsung pada 11 Februari dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membolehkan syarikat terlibat memberi taklimat dan penerangan kepada jemaah terutama berkaitan tiga SOP baharu berhubung aktiviti umrah bermula 14 Februari.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri ketika sidang akhbar pada 26 Januari lalu berkata, umat Islam di Malaysia boleh menarik nafas lega selepas kerajaan memutuskan kebenaran menunaikan umrah bermula 8 Februari.

Nancy - Foto Bernama
Nancy - Foto Bernama

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas kerajaan tidak melanjutkan penangguhan sementara ibadah umrah berkuat kuasa 8 Januari lalu susulan penularan jangkitan Omicron.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad pula berkata, jemaah yang terpaksa membatalkan perjalanan umrah susulan keputusan kerajaan menggantung sementara perjalanan kini tidak perlu bimbang.Menurutnya, jemaah boleh menuntut pampasan daripada kerajaan berikutan kerugian yang ditanggung tersebut.

Katanya, mereka yang terlibat boleh berbuat demikian di mana-mana cawangan Tabung Haji dengan hanya membawa kad pengenalan diri.

Langkah wajar

Syarikat pengendali umrah, Andalusia Travel & Tours menyambut baik pelaksanaan SOP baharu tersebut, dalam masa sama menyifatkan ia sebagai langkah yang wajar dalam mengekang penularan pandemik Covid-19.

Pengarah dan Penasihat Undang-undangnya, Ida Riswana Idris berkata, kehadiran PIC daripada agensi pelancongan bukan sahaja dapat memantau kepatuhan jemaah umrah tetapi pada masa sama membantu jika berlaku kejadian di luar jangka.

“Saya berpandangan SOP baharu yang dikeluarkan ini amat wajar lebih-lebih lagi jika secara tiba-tiba ada jemaah yang positif Covid-19 dalam kumpulan PIC yang ditugaskan.

“Jadi, PIC ini sekurang-kurangnya boleh mengambil tindakan awal dengan memberikan bantuan kecemasan sebelum ia dirujuk kepada ibu pejabat dan sebagainya.

“Malah, mutawif yang berkhidmat dengan kami sememangnya dilatih untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah yang diurus mereka. Jadi SOP baharu ini bukan sesuatu sukar untuk kami,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Tambah Ida Riswana, pihaknya juga menzahirkan ucapan terima kasih dan bersyukur dengan pembukaan semula ibadah umrah, sekali gus memberi kembali kelegaan kepada mereka yang mengendalikan jemaah setelah hampir dua tahun berdepan kesukaran.

Pendekatan terbaik

Pakar kesihatan, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar pula beranggapan pelaksanaan tersebut sebagai pendekatan yang baik diambil kerajaan untuk mengekang penularan jangkitan Covid-19 khususnya varian Omicron yang melanda Malaysia ketika ini.

Beliau berkata, keperluan PIC untuk memberi nasihat dan memantau jemaah itu diyakini dapat memberi peringatan kepada jemaah terlibat supaya sentiasa berjaga-jaga dan mematuhi SOP ditetapkan.

“Saya melihat SOP baharu ini bagus. Dari dulu lagi kita berpandangan bahawa kebenaran menunaikan umrah ini boleh diberikan dengan syarat perlu ada SOP.

“SOP antaranya ialah PIC dan memastikan jemaah yang baru pulang menjalani ujian calitan, dalam masa sama duduk di rumah menjalani kuarantin untuk memastikan jangkitan tidak berlaku,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun berkata, pelaksanaan SOP semata-mata sahaja tidak mencukupi tanpa adanya kesedaran dan rasa tanggungjawab oleh jemaah untuk sentiasa mematuhi arahan memakai pelitup muka dan penjarakan ketika berada di Tanah Suci.

“Jika jemaah itu sendiri mempunyai kesedaran dan sentiasa mematuhi SOP, insya-ALLAH jangkitan Covid-19 ini dapat dielak dengan sebaiknya demi keselamatan bersama,” ujar beliau.

Ternyata, pembukaan semula perjalanan umrah selepas ia ditangguhkan menjadi perkhabaran menggembirakan bukan sahaja kepada syarikat pengendali umrah, malah umat Islam di negara ini.