Pesara wanita rugi RM40,000 ditipu 'pegawai TM'

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PORT DICKSON- Seorang pesara wanita mengalami kerugian RM40,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Telekom Malaysia (TM).

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, wanita berusia 63 tahun itu menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan dirinya Muhammad Faizal daripada Telekom Malaysia pada 11 Mac lepas.

"Mangsa telah dimaklumkan terdapat pendaftaran talian Unifi atas namanya di sebuah alamat di Seremban, Negeri Sembilan.

"Bagaimanapun, mangsa menafikan perkara tersebut sebelum panggilan disambungkan kepada Inspektor Manisah dan kali ini mangsa dimaklumkan terdapat transaksi kemasukan wang haram sebanyak RM80,000 ke dalam akaun Public Bank miliknya," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Aidi Sham berkata, panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada Asisten Superintenden (ASP) Datuk Asrul, pegawai Bank Negara dan mangsa diminta untuk mendaftar perbankan atas talian Bank Simpanan Nasional (BSN) menggunakan kata laluan yang diberikan.

"Mangsa juga telah menyerahkan butiran perbankan nombor kad mesin wang pengeluaran automatik (ATM) dan nombor pin bagi akaun BSN, Bank Rakyat dan Maybank miliknya.

"Curiga dengan keadaan itu, mangsa membuat semakan dengan pihak bank dan mendapati telah mengalami kerugian sebanyak RM40,000 daripada tiga akaun tersebut yang dipindahkan kepada individu tidak dikenali," katanya.

Aidi Sham berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menasihati orang ramai tidak mudah mempercayai panggilan yang memaklumkan mereka sebagai badan penguatkuasa atau institusi kewangan.

"Selain itu, mereka juga diminta untuk tidak mendedahkan butiran perbankan kepada pihak yang tidak dikenali bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.

"Buat semakan pengesahan akaun dan talian telefon terlebih dahulu melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk mengenal pasti sama ada akaun terbabit pernah terbabit dalam kes penipuan atau tidak sebelum membuat sebarang transaksi pembayaran," katanya lagi.

Tambah beliau, orang ramai juga boleh berhubung dengan CCID Scam Response Centre melalui talian 03-26101599/1599 jika mempunyai sebarang keraguan.