Tengku Zafrul tidak hadir ke Parlimen bukan letak jawatan

Tengku Zafrul - Foto Bernama
Tengku Zafrul - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan ketidakhadirannya ke sidang Dewan Rakyat bagi mengemukakan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2021 (2022) bukanlah kerana telah meletakkan jawatan.

Sebaliknya, kata Tengku Zafrul, ketidakhadiran itu adalah kerana beliau mempunyai urusan kecemasan peribadi dan telah memaklumkan perkara tersebut pada Rabu.

"Tiada niat untuk tidak menunaikan tanggungjawab saya menjawab soalan sebagai Menteri Kewangan," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Khamis.

Menurutnya, Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2021 (2022) yang dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah adalah merupakan salah satu perancangan kementerian.

"Tahun lepas pun, Timbalan Menteri Kewangan juga yang bentangkan atau mungkin Utusan Malaysia buat-buat tak tahu, tak ingat atau tak kisah?" tempelaknya.

Katanya, pemberita sepatutnya berlaku adil dalam membuat laporan.

"Mereka boleh sahaja meminta pengesahan dari pejabat atau pegawai saya. Gunakanlah kuasa pena anda untuk menceritakan hal yang betul, bukan menghebahkan khabar angin," katanya.

Ujar Tengku Zafrul, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) soalan MQT, hanya menteri sahaja yang boleh memberikan jawapan.

Artikel Berkaitan:

"Ini bukan pertama kali seorang menteri diminta untuk membacakan jawapan menteri lain.

"Banyak 'precedent on this'. Terima kasih Menteri Agama, Senator Datuk Idris Ahmad kerana membacakan jawapan saya," katanya.

Beliau berkata, semua soalan tambahan akan disediakan jawapan bertulis olehnya.

"Saya meminta maaf kepada Padang Serai serta Tumpat dan Pokok Sena yang bertanya soalan tambahan atas kesulitan yang telah berlaku," katanya.

Tengku Zafrul menerusi laporan sebuah portal didakwa meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan selepas tidak hadir pada sidang Dewan Rakyat.

Ia dikatakan berkaitan dengan kenyataan Tengku Zafrul sebelum ini yang menyatakan rela meletakkan jawatan daripada berkompromi dengan sebarang keputusan melibatkan kementeriannya yang difikirkan silap, termasuk pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 secara one-off.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu mengumumkan kebenaran pengeluaran khas KWSP RM10,000.