'Adakah Tengku Zafrul sudah letak jawatan'

Tengku Zafrul (kiri) dan Mahfuz.
Tengku Zafrul (kiri) dan Mahfuz.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Mahfuz Omar (PH - Pokok Sena) di Dewan Rakyat pada Khamis bertanya adakah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sudah meletakkan jawatan.

Beliau bertanya demikian ketika Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah bangun untuk mengemukakan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2021.

Soalan itu dibangkitkan Mahfuz selepas Tengku Zafrul dilaporkan pernah berkata beliau rela meletak jawatan daripada meluluskan RM10,000 pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“RUU Perbekalan ini mesti dibentang atas nama menteri dan diwakilkan kepada Timbalan Menteri. Saya nak pastikan, maknanya Tengku Zafrul belum meletakkan jawatan?

“Sebab beliau pernah menyatakan jika diluluskan ‘one-off’ pengeluaran KWSP, beliau rela letak jawatan.

“Jadi, semalam Perdana Menteri telah umumkan perkara ini, adakah dengan ketidakhadiran beliau pada sesi soal jawab menteri ini menunjukkan beliau sudah letak jawatan?

“Kalau belum, bermakna Timbalan Menteri tidak boleh mewakili Menteri Kewangan sebab Menteri Kewangan tiada,” katanya selepas Shah membacakan RUU Perbekalan Tambahan itu.

Bagaimanapun, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Ramli Mohd Nor berkata, mengikut peraturan mesyuarat, Timbalan Menteri Kewangan boleh menjadi wakil dalam pembentangan RUU itu.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang makluman berhubung peletakan jawatan Tengku Zafrul sebelum meneruskan Aturan Mesyuarat. - Awani