[VIDEO] Kerajaan benarkan pengeluaran khas RM10,000 KWSP

Ismail Sabri pada sidang media khas yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial hari ini.
Ismail Sabri pada sidang media khas yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kerajaan pada Rabu akhirnya bersetuju membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu merupakan keputusan yang sukar kerana ia melibatkan simpanan hari tua rakyat.

Bagaimanapun, katanya, pengeluaran khas itu adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.

"Walaupun kerajaan memberikan kebenaran untuk pengeluaran khas KWSP ini, namun saya merayu kepada para pencarum supaya mengekalkan simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar mendesak.

"Saya berharap para pencarum membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum melakukan pengeluaran, demi masa depan," katanya pada sidang media khas yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial.

Ismail Sabri menegaskan, kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lalu.

Menurutnya, berdasarkan dapatan kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam fasa pemulihan selepas pandemik ini, ada dalam kalangan Keluarga Malaysia yang masih terkesan dari segi ekonomi, hilang pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.

Justeru itu, jelasnya, kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, penjelasan lanjut mengenai pengeluaran khas KWSP ini akan dibuat oleh Kementerian Kewangan dan KWSP.

Sebelum ini desakan demi desakan disuarakan pelbagai pihak termasuk pemimpin kerajaan dan pembangkang agar kerajaan meluluskan pengeluaran KWSP kali terakhir.

Mereka yang lantang menyuarakan perkara itu antaranya adalah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.