Pelanggaran bot: JLM tunggu keputusan pendakwa raya

Laporan Sinar Harian mengenai insiden pelanggaran sebuah bot pelancong dengan sebuah bot nelayan di muara Sungai Besut di Jeti Pelancongan Kuala Besut Isnin lepas.
Laporan Sinar Harian mengenai insiden pelanggaran sebuah bot pelancong dengan sebuah bot nelayan di muara Sungai Besut di Jeti Pelancongan Kuala Besut Isnin lepas.
A
A
A

KUALA BESUT - Jabatan Laut Malaysia (JLM) sedang menunggu keputusan pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut berhubung kes pelanggaran sebuah bot pelancong dengan bot nelayan di muara Sungai Besut di sini, pada 31 Januari lepas.

Ketua Pengarah JLM Datuk Baharin Abdul Hamid berkata, kertas siasatan telah diserahkan kepada pendakwa raya selepas pihaknya selesai menjalankan siasatan yang membabitkan beberapa aspek.

"Kami sedang menunggu arahan daripada pihak pendakwa raya untuk tindakan mahkamah dan kami jangka pendakwaan akan dilakukan pada April ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Keselamatan Bot dan Penumpang di sini pada Khamis.

Menurutnya, siasatan awal mendapati terdapat beberapa kesalahan melibatkan bot pelancong tersebut termasuk berkaitan lesen dan perlindungan insurans dan kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952.

Dalam kejadian pada 3.30 petang, 31 Januari lepas, bot pelancong dari Pulau Perhentian yang membawa 29 penumpang termasuk 14 kanak-kanak berlanggar dengan sebuah bot dinaiki tiga nelayan tidak jauh dari jeti di muara Sungai Besut.

Akibat pelanggaran itu, kesemua penumpang serta kru bot pelancong serta nelayan itu terjatuh ke dalam sungai namun mereka berjaya diselamatkan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Sementara itu mengenai kempen pada Khamis, Baharin menasihatkan para pelancong terutama penumpang bot yang mahu ke mana-mana pulau peranginan supaya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh JLM.

Artikel Berkaitan:

"Kami minta penumpang menaiki feri atau bot di jeti yang diluluskan sahaja, bot mempunyai lesen sah dan dikendali oleh pemandu bot yang kompeten dan pastikan memakai jaket keselamatan sepanjang perjalanan,” katanya. - Bernama