Adililah kematian anak saya...

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Koroner diselubungi rasa pilu apabila bapa kepada Muhammad Adib, Mohd Kassim Abd Rahim merayu agar kematian anaknya mendapat pembelaan sewajarnya.

Beliau yang merupakan saksi ke-23 diberi peluang oleh mahkamah untuk menyatakan apa yang terbuku dihatinya.

"Saya mahu keadilan atas kematian anak saya...

"Saya minta pihak berkenaan adililah dengan sebenar-benarnya," katanya.

Menurutnya, kematian Muhammad Adib memberi kesan mendalam kepada mereka sekeluarga.

"Dia anak yang baik, tidak banyak bercakap, tetapi mendengar kata.

"Arwah banyak membantu dari segi kewangan dan tenaganya di bendang sawah, memang kami terasa sangat kehilangannya dari segi kegembiraan, bantuan kewangan dan lain-lain," katanya.

Mohd Kassim berkata, pihak yang terlibat mencetuskan rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman Subang Jaya perlu diambil tindakan.

Artikel Berkaitan:

"Siapa- siapa yang merancang dan terlibat dalam rusuhan, saya minta pihak berkuasa ambil tindakan," katanya.

Muhammad Adib, 24, yang merupakan anggota bomba Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Subang Jaya cedera parah dalam insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, November lalu.

Dia menghembuskan nafas terakhirnya pada 17 Disember, jam 9.41 malam di Institut Jantung Negara selepas 21 hari bertarung nyawa.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa Allahyarham Adib hadir beri keterangan