'Ulat jaket' raih hingga RM1,000 sehari tipu pelancong

Foto 123rf (Gambar kecil: Zailani)
Foto 123rf (Gambar kecil: Zailani)
A
A
A

SEPANG - Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) berjaya membongkar kegiatan pemandu kereta sapu atau 'ulat jaket' yang berpakaian segak dan mengenakan caj melampau terhadap pelancong.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, 'ulat jaket' yang beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berkenaan mampu meraih keuntungan dari RM800 hingga RM1,000 sehari.

Menurutnya, berbeza dengan pemandu kereta sapu biasa, 'ulat jaket' tersebut menyasarkan pelancong dari Timur Tengah di mana majoriti daripada mereka merupakan golongan berduit dan menawarkan pengangkutan serta pakej pelancongan yang kononnya lebih murah daripada ejen pelancongan sah.

"Ulat ini menawarkan perkhidmatan kereta sewa kepada pelancong yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan mengenakan caj RM80 hingga RM150 ke Kuala Lumpur di mana caj teksi atau limosin antara RM65 hingga RM80 sahaja.

"Kalau mereka (pelancong) tidak berhati-hati mereka akan menjadi mangsa 'ulat jaket' yang akan mengenakan caj sepanjang mereka bercuti contohnya seminggu boleh dikenakan caj pelbagai pakej hingga RM40,000 kerana 'ulat jaket' ini tahu mangsa dari Timur Tengah ini berduit.

"Mereka akan menyasarkan pelancong yang tidak pergi ke kaunter teksi tetapi melilau mencari kaedah lain untuk ke destinasi masing-masing," katanya dalam sidang media di Stesen Penguat Kuasa (SPK) JPJ Negeri Selangor di KLIA 1 di sini pada Rabu.

Beliau berkata, kegiatan 'ulat' terbabit mengakibatkan kerugian kepada operator teksi dan limosin yang sudah lama beroperasi malah mencemarkan imej negara sebagai destinasi pelancongan.

Katanya, pihak JPJ menempatkan seramai 21 pegawai di SPK KLIA di sini untuk melaksanakan pemantauan demi membanteras aktiviti tidak bermoral itu.

Artikel Berkaitan:

"Pada 8 hingga 15 Mac, seramai 14 pemandu kereta sapu ditahan oleh anggota yang menyamar di sekitar KLIA 1 dan KLIA 2 di mana 11 daripadanya menggunakan kenderaan persendirian dan tiga lagi menggunakan teksi.

"Mereka ini ada yang bergerak solo dan ada yang didalangi sindiket. Kalau yang solo ini biasanya yang baru nak mula dan yang sindiket ini lebih terancang," katanya.

Zailani berkata, ada antara 'ulat jaket' berkenaan menggunakan kenderaan pelbagai guna mewah (MPV) jenis Toyota Vellfire yang disewa dengan kadar mencecah RM3,000 sebulan untuk menarik pelancong menggunakan perkhidmatan mereka.

"Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 yang memperuntukkan denda mencecah RM50,000, penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali," ujarnya.