Paul Yong dakwa tuduhan rogol satu muslihat politik

Paul Yong (dua dari kanan) dan isterinya ketika hadir sebagai saksi pembelaan di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Rabu.
Paul Yong (dua dari kanan) dan isterinya ketika hadir sebagai saksi pembelaan di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Bekas Exco Kerajaan Perak, Paul Yong Choo Kiong mendakwa tuduhan rogol terhadap pembantu rumah warga Indonesia yang dihadapinya merupakan satu muslihat politik, dalam sesi bela diri di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Rabu.

Paul Yong, 52, selaku saksi pembelaan pertama mendakwa, muslihat politik itu dirancang oleh pihak-pihak tertentu susulan kedudukan kerajaan Perak ketika itu di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang tidak stabil dengan hanya kelebihan tiga kerusi.

Menurutnya, jika terdapat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) disingkirkan atau dijatuhkan, maka dengan mudah kerajaan PH pada masa itu tidak dapat diselamatkan.

"Ada ura-ura mengatakan usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar (ketika itu) akan diadakan dalam Sidang DUN, selain menyatakan saya akan digantikan atau disingkirkan selepas kejadian seorang lagi Exco dikaitkan terlibat dalam kes rasuah.

"Jadi adalah jelas menunjukkan ada pihak yang cuba menjatuhkan kami dalam kerajaan pada masa itu.

"Keduanya (alasan) kerana tarikh kejadian iaitu 7 Julai 2019 adalah terlalu dekat dengan majlis angkat sumpah penggal kedua untuk Exco dan saya merupakan seorang Exco pada masa itu.

"Ketiga, saya rasa ada pihak yang iri hati dan cemburu terhadap portfolio yang saya pegang kerana memegang lima portfolio penting iaitu kerajaan tempatan, perumahan, pengangkutan awam, hal ehwal bukan Islam dan Kampung Baru," katanya.

Menjawab soalan balas dikemukakan Peguam Datuk Rajpal Singh, ADUN Tronoh itu percaya dirinya terlibat dengan muslihat politik berdasarkan pengakuan lelaki yang merupakan saksi terlindung kedua di mahkamah yang membawa pembantu rumahnya untuk membuat laporan polis pernah menyebutkan nama empat ADUN yang terlibat dalam kes ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dalam laporan polis dibuat Datuk Ngeh Koo Ham (Penasihat DAP Perak) juga menyebut bahawa lelaki yang membawa pembantu rumahnya pergi ke balai untuk membuat laporan telah diacukan pistol dan diberi wang sebanyak RM100,000 untuk menjalankan tugas itu.

"(Polis) tak pernah siasat tentang muslihat politik dan saya ada sebut dalam laporan polis saya," katanya ketika ditanya sama ada pegawai penyiasat menjalankan soal siasat mengenai dakwaan muslihat politik itu.

Paul Yong tidak bersetuju dengan hujah Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi bahawa apa yang berlaku bukan disebabkan muslihat politik memandangkan selepas ditahan dan disiasat, beliau masih lagi menjalankan tugas sebagai ADUN tanpa ada usul undi tidak percaya dikemukakan.

Azlina dalam hujahnya menyatakan, dakwaan Paul Yong yang merasakan dirinya sentiasa diekori oleh kereta yang tidak dikenali selain beberapa kali kereta asing diletakkan di tepi jalan rumahnya hanya bayangan dan ilusi semata-mata.

Sementara itu, saksi pembelaan kedua, Too Choon Looi, 46, yang juga isteri Paul Yong tidak bersetuju dengan hujah pihak pendakwaan bahawa suaminya telah merogol pembantu rumah berkenaan.

Dari kandang saksi, Choon Looi berkata, adalah tidak munasabah untuk suaminya melakukan perbuatan rogol itu kerana pada malam kejadian, dia berada di rumah dan hanya keluar sekitar 10 minit sahaja.

Hari pertama prosiding bela diri yang berlangsung selama hampir dua jam 30 minit pada Rabu itu, pihak pembelaan telah mengemukakan dua saksi di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed.

Pihak pembelaan akan mengemukakan dua lagi saksi pada prosiding berikutnya yang dijadualkan pada 31 Mac ini.

Mengikut pertuduhan, Paul Yong didakwa merogol pembantu rumah berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park antara jam 8.15 malam hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada 23 Ogos 2019 ketika memegang jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak