PBT Selangor kenal pasti 613 menara telekomunikasi haram

Sze Han ketika sidang media di Dewan Negeri Selangor, di sini pada Rabu.
Sze Han ketika sidang media di Dewan Negeri Selangor, di sini pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 613 menara telekomunikasi dikenal pasti dibina secara haram di Selangor tanpa mematuhi garis panduan sejak 10 tahun.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han berkata, menara tersebut paling banyak dibina di daerah Kuala Langat berjumlah 172 menara, diikuti Selayang (111), Kajang (77) dan Sepang (63).

Menurutnya, dapatan tersebut diperoleh menerusi operasi pemantauan berkala dan audit tapak oleh syarikat Yakin Telesel Sdn Bhd (YTSB) pada Disember tahun lalu.

"Punca menara telco haram dibina kerana syarikat tersebut ingin guna langkah mudah kerana biasanya ia perlu melalui beberapa proses termasuk mengambil pandangan daripada penduduk-penduduk dan ulasan daripada jabatan teknikal.

"Jadi kalau mereka ingin ambil jalan mudah, mereka akan bangunkan menara itu dengan mudah dan lebih murah kosnya," katanya ketika sidang media di Dewan Negeri Selangor, di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Sze Han berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengeluarkan notis penguatkuasaan kepada syarikat-syarikat telekomunikasi terlibat pada hujung bulan Mac ini.

Namun begitu, kerajaan negeri bekerjasama dengan syarikat YTSB untuk memastikan rangkaian telekomunikasi di kawasan berkenaan tidak terjejas jika ingin dirobohkan.

"Tindakan penguatkuasaan akan diambil menerusi notis yang dikeluarkan oleh semua PBT kepada pemilik-pemilik menara telco berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Jika tiada tindakan diambil atau tiada permohonan dikemukakan, maka tindakan perobohan akan dilaksanakan," katanya.