Pas perlu teliti rakan politik dalam PN

Gambar kecil: Hazmi
Gambar kecil: Hazmi
A
A
A

KOTA BHARU – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang seharusnya meneliti kembali siapa sebenarnya rakan politik dalam komponen parti Perikatan Nasional (PN) yang benar-benar jujur berjuang untuk menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Pemuda Amanah Negeri Kelantan, Hazmi Hassan berkata, langkah itu amat penting untuk menilai sendiri sejauh mana keikhlasan rakan-rakan tersebut yang dilihat bagaikan ‘sehidup semati’ bersama menuju PRU.

“Pas dikatakan tidak boleh bertaawun (bekerjasama) dengan mana-mana parti bagi tujuan yang salah dan terpesong daripada prinsipnya, namun adakah Pas pasti dengan rakan sekelilingnya hari ini.

“Pas tidak termakan dengan tawaran kerusi, jawatan, harta dan lain-lain, namun Pas juga sudah menerima tawaran-tawaran tersebut ketika ini.

“Pas perlu melihat kembali siapa rakan di sekeliling, layakkah mereka berkawan dengan Pas lagi, sedangkan Pas sangat mementingkan prinsip dalam perjuangan,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Abdul Hadi yang mendakwa, Pas dikatakan tidak boleh bertaawun (bekerjasama) dengan mana-mana parti bagi tujuan yang salah dan terpesong daripada prinsipnya.

Malah katanya, politik wang dan pangkat diharamkan dalam parti itu maka ahli yang setia akan tetap beristiqamah dan bersabar, walaupun tidak mendapat sokongan masyarakat yang tidak memahami.

Mengulas lanjut, Hazmi berkata, Abdul Hadi perlu menjadi contoh utama kepada ‘anak-anak’ di dalam parti, apa yang perlu dilakukan jika mereka dikelilingi dengan rakan-rakan seperti itu.

Artikel Berkaitan:

“Kalau kita sudah tahu dalam sungai ada buaya, kenapa turun juga. Kalau kita turun, orang lain pun akan ikut sama. Perumpamaan yang paling mudah untuk difahami.

“Dulu Amanah telah menasihati berkenaan dengan kemungkaran rasuah dan salah laku yang berleluasa namun tidak diendahnya. Kini bila tersepit barulah Pas sedar atau kerana kepentingan politik barulah bercakap soal rasuah,” katanya.