167 beca di Pulau Pinang perlu imej baharu untuk tarik pelancong

Tinjauan di Jalan Masjid Kapitan Keling mendapati pengayuh beca meletakkan beca masing-masing di tepi jalan kerana tiada pelanggan. Gambar kecil: Abdul Latiff
Tinjauan di Jalan Masjid Kapitan Keling mendapati pengayuh beca meletakkan beca masing-masing di tepi jalan kerana tiada pelanggan. Gambar kecil: Abdul Latiff
A
A
A

GEORGETOWN - Penularan Covid-19 secara tidak langsung telah mematahkan semangat penarik beca untuk mencari rezeki.

Pengerusi Persatuan Penarik Beca Pulau Pinang, Abdul Latiff Mohd berkata, keadaan itu menyebabkan semua pengayuh beca berputus asa kerana pendapatan mereka terjejas teruk.

“Tiada langsung pelancong asing, jadi mereka amat runsing dengan perkara itu. Kejadian ini berlarutan sejak dua tahun lalu.

“Justeru, kami berharap dengan pembukaan pintu sempadan negara April ini, semua pengayuh beca boleh meraih pendapatan seperti biasa. Terlalu lama mereka hidup dalam kesusahan,” jelasnya.

Abdul Latiff juga berharap agar perancangan kerajaan negeri untuk memberi imej baharu kepada 167 buah beca di Pulau Pinang tahun ini dapat dilaksanakan.

“Perancangan ini adalah untuk memberikan transformasi kepada imej beca di negeri ini dalam menarik minat pelancong dalam dan luar negara untuk menaiki beca. Saya difahamkan perancangan itu tertangguh sejak dua tahun lalu akibat Covid-19.

“Kebanyakan beca di sini tidak cantik dan uzur, ini akan menyebabkan minat pelancong pada beca berkurangan.

“Oleh demikian, dengan perubahan imej beca nanti, kami berharap lebih ramai pelancong akan menggunakan perkhidmatan beca.

Artikel Berkaitan:

“Perubahan imej seperti warna dan kebersihan beca nanti diharapkan dapat membantu menjana pendapatan pengayuh beca selain memberi lebih keyakinan kepada pelancong menggunakan perkhidmatan tertua ini,” tegasnya.

Menurut beliau, pihak persatuan juga berharap agar kerajaan negeri mempromosikan perkhidmatan beca dalam setiap program yang dianjurkannya.

“Apabila beca kerap dipromosikan dalam program yang dianjurkan oleh kerajaan negeri terutamanya melalui portfolio Pelancongan, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, saya pasti ia akan memberi impak yang positif kepada pengayuh beca di Pulau Pinang.

“Bantuan daripada kerajaan negeri mahu pun kerajaan pusat amat kami harapkan,” katanya.