Tiada masalah hentikan JKMPay jika tiada manfaat

Siti Zailah. -Foto Bernama
Siti Zailah. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada masalah untuk menghentikan pelaksanaan Projek Rintis Pembayaran Bantuan Bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tanpa Tunai atau JKMPay sekiranya ia didapati tidak memberi manfaat kepada penerima, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.

Beliau berkata, memandangkan pelaksanaan projek yang hanya melibatkan penerima elaun baharu itu masih di peringkat rintis, kementerian menunggu hasil dapatan diperoleh April ini sebelum memutuskan sama ada ia akan diteruskan atau sebaliknya.

"Isu ini berbangkit apabila kita terima aduan iaitu ada sebahagian penerima mengadu bantuan yang kita salurkan disalah guna keluarga mereka. Kita menerima respons positif dan kita buat kajian, majoriti mengatakan mereka tiada masalah (dengan JKMPay), namun kita masih dalam peringkat rintis dan kajian.

"Sekiranya perkara ini tidak memberi manfaat, tiada masalah. Kita boleh tarik balik dan kembali kepada pembayaran secara biasa (tunai), kerana ini hanya satu projek rintis dan kita jangka sehingga April ini untuk menilai semua aduan serta pandangan,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menekankan inisiatif itu bukan bertujuan menyekat hak golongan orang kurang upaya (OKU) untuk berbelanja, sebaliknya memperluas kaedah berbelanja golongan itu kepada pembayaran tanpa tunai.

Siti Zailah berkata, sehingga Februari lalu, sejumlah 397 kedai diluluskan untuk terlibat dalam projek rintis ini dan 250 kedai memohon serta berminat untuk berdaftar di bawah JKMPay.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim ketika menggulung perbahasan usul sama bagi kementeriannya pula berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenal pasti lima lokasi bagi pembinaan 5,000 rumah Residensi Majlis (Council Home).

Beliau berkata, lokasi itu ialah di Sungai Udang melibatkan 897 unit dan dijangka siap sepenuhnya bulan depan, manakala empat lagi dalam perancangan iaitu di Jalan Selimang (702 unit), Desa Tasik (1,000 unit), Bandar Baru Sentul (168 unit) dan Jalan Tasik Permaisuri (204 unit).

Artikel Berkaitan:

"Tujuan utama pembangunan Residensi Majlis ini adalah bagi membantu golongan B40, iaitu sebagai transit sebelum mereka mampu memiliki rumah sendiri memandangkan unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang boleh ditawarkan adalah terhad, selain membantu warga kota dalam golongan berpendapatan rendah menyewa rumah," katanya.

Berhubung isu dibangkitkan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai keperluan DBKL membuat bancian atau siasatan terhadap penyewa PPR, beliau berkata, program bancian itu sentiasa dijalankan pihaknya dengan meminta penyewa mengemas kini maklumat pendapatan masing-masing dari masa ke masa.

Pada masa sama, Shahidan berkata, DBKL juga sedang menjalankan program lanjutan tempoh penyewaan Perumahan Awam atau PPR dan kelulusan pelanjutan itu tertakluk kepada maklumat pendapatan yang diberi penyewa.

"Bagi tindakan pemutihan pula, DBKL sering menjalankan tindakan dengan mengeluarkan notis kepada penyewa yang didapati melakukan pelanggaran syarat seperti tidak menetap, kesalahan jenayah dan dadah serta menyewakan unit kepada pihak ketiga,” katanya.

- Bernama