Inisiatif 'lelaki qawwam' akan jadi kandungan kursus praperkahwinan

Lelaki qawwam bertujuanf memperkasakan lelaki yang mampu melindungi secara holistik dan membimbing serta menjadi ketua keluarga yang bertanggungjawab. (Gambar kecil: Ahmad Marzuk Shaary)
Lelaki qawwam bertujuanf memperkasakan lelaki yang mampu melindungi secara holistik dan membimbing serta menjadi ketua keluarga yang bertanggungjawab. (Gambar kecil: Ahmad Marzuk Shaary)
A
A
A

LANGKAWI - Inisiatif memperkasakan lelaki yang mampu melindungi secara holistik dan membimbing serta menjadi ketua keluarga yang bertanggungjawab atau dipanggil 'lelaki qawwam', akan menjadi sebahagian isi kandungan dalam Kursus Praperkahwinan Islam selepas ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, garis panduan mengenai inisiatif itu telah pun diwujudkan iaitu hasil daripada perbincangan lanjut pihaknya bersama pihak lain yang berkaitan dalam bidang itu.

"Sangat perlu silibus Kursus Praperkahwinan ini menitik beratkan soal 'lelaki qawwam' ataupun kehebatan kuasa untuk memayungi keluarga itu di tangan lelaki, bukan menunjukkan kejantanan dia sampai boleh buat apa saja kepada keluarga, tetapi bertanggungjawab, mengambil berat, empati (dan) sayang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk (KPNCR) Seluruh Negara Kali Ke-44 Tahun 2022 dan pelancaran Buku Gerbang Perkahwinan Edisi Ketiga di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, menerusi inisiatif itu nanti ia menonjolkan peranan kepimpinan lelaki yang baik dalam mengemudi rumah tangga, serta berupaya mempertahankan perkahwinan dengan lebih cekap dan berkesan sekali gus dapat mengelakkan perceraian berlaku.

"Bukan saja daripada sudut tanggungjawab sediakan segala kemudahan diperlukan, bahkan pendidikan dan lain lain lagi (malah ia) termasuk juga soal bagaimana nak membesarkan anak-anak berdasarkan kepada panduan dan tuntutan agama, supaya nanti tidak berlakunya pertambahan gejala sosial kerana ia bermula dari didikan awal keluarga di rumah, jadi ini yang kita tekankan,” katanya.

Beliau berkata, pada tahun 2020, sebanyak 35,094 kes perceraian di seluruh negara direkodkan, dengan Selangor mencatatkan kadar perceraian tertinggi iaitu sejumlah 7,683 kes, manakala sebanyak 12,682 kes pula bagi statistik perceraian tahun lepas setakat 25 Ogos, yang Selangor juga negeri paling tinggi jumlah perceraian iaitu sejumlah 2,509 kes.

Ahmad Marzuk tidak menafikan bahawa, faktor kewangan dalam fasa pandemik ini juga antara penyebab perceraian itu berlaku dalam kalangan orang Islam di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Mengenai persidangan itu, katanya, penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan nikah, cerai dan rujuk, untuk disesuaikan dengan fasa endemik nanti menjadi antara topik perbincangan dalam persidangan tersebut.

"Kebiasaannya dalam tempoh pandemik ini, permohonan-permohonan untuk nikah, cerai dan rujuk ini agak ada sedikit gangguan. Jadi, pemurniannya akan diteliti dalam persidangan pada kali ini,” katanya. -Bernama