Tour Gateh D'Tranung 2022 gamit 22 pasukan

Wan Sukairi (tengah) bersama Shahrizal (kanan) dan Mazlan menunjukkan pelan laluan perlumbaan Tour Gateh D'Tranung 2022 dalam sidang media di Kuala Terengganu pada Selasa. - Foto Bernama
Wan Sukairi (tengah) bersama Shahrizal (kanan) dan Mazlan menunjukkan pelan laluan perlumbaan Tour Gateh D'Tranung 2022 dalam sidang media di Kuala Terengganu pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

SETELAH ‘berkubur’ selama 10 tahun, kejohanan berbasikal Jelajah Terengganu kembali dengan identiti baharu melalui penjenamaan semula dan kini dikenali sebagai Tour Gateh D'Tranung 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kejohanan itu berjaya menghimpunkan 27 pasukan termasuk dua dari Singapura untuk berentap bagi merebut hadiah wang tunai berjumlah RM60,000.

Beliau berkata, Tour Gateh D'Tranung 2022 yang dijadual bermula dari 20 hingga 25 Mac akan melibatkan laluan sejauh hampir 600 kilometer yang dibahagikan kepada lima peringkat perlumbaan bermula di Kuala Terengganu dan berakhir di Kemaman.

“Kali terakhir kejohanan ini dianjurkan ialah pada 2011 dan ia antara kejohanan berbasikal tertua di Malaysia yang sentiasa menjadi perhatian para pelumba dari dalam dan luar negara,” katanya dalam sidang media di Kuala Terengganu pada Selasa.

Turut hadir Pengarah Majlis Sukan negeri, Shahrizal Yahya dan Timbalan Presiden Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLTB), Mazlan Md Jali.

Menurut Wan Sukairi, selain mengukuhkan kedudukan Terengganu sebagai pelopor sukan lumba basikal negara, penganjuran Tour Gateh D'Tranung juga bertujuan merancakkan kembali ekonomi negeri melalui sektor pelancongan berasaskan sukan.

Beliau memberitahu, dengan penglibatan 15 pasukan negeri dan 14 pasukan bertaraf profesional, ia diharap mampu melonjak dan menarik kedatangan lebih ramai pelancong khususnya para peminat sukan berbasikal ke negeri ini.

“Kejohanan yang menelan belanja sekitar RM650,000 ini juga akan disiarkan secara penstriman langsung dan boleh ditonton di seluruh dunia selama enam hari bermula perlumbaan peringkat pertama hingga ke acara penyampaian hadiah.

Artikel Berkaitan:

“Selain perlumbaan, kita juga ada selitkan acara perarakan kenderaan berhias beridentitikan daerah sebagai pengisian tambahan kejohanan,” ujarnya.

Antara pasukan profesional yang menyertai kejohanan tersebut ialah Terengganu Cycling Team (TSG), Team Sapura Cycling, Singapore Cycling Federation, Omirong Racing Team, TSS Cycling Team dan Cyclo Racing Team. - Bernama