Pulih masalah mental cabaran utama AADK

Aminuddin(dua dari kiri) menyerahkan sijil kepada Sutekno Ahmad sebagai simbolik penyerahan Sistem MyCARE.
Aminuddin(dua dari kiri) menyerahkan sijil kepada Sutekno Ahmad sebagai simbolik penyerahan Sistem MyCARE.
A
A
A

SEREMBAN - Memulihkan masalah mental yang dihadapi oleh pengguna dadah sintetik menjadi cabaran utama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selain merawat masalah ketagihan yang boleh membawa maut.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon berkata, terdapat tiga elemen yang perlu dirawat melibatkan pengguna dadah sintetik iaitu masalah ketagihan, kesihatan dan mental.

"Penggunaan dadah sintetik secara berlebihan boleh membawa maut dan sekiranya individu itu ketagih ia akan merosakkan mental yang mana jadi cabaran pada kita untuk memulihkan tahap mental mereka terlebih dahulu

"Jadi pada masa ini pengguna dadah sintetik bukan setakat perlu dirawat ketagihannya tetapi masalah kesihatan dan mental yang mana ketiga-tiga sekali perlu dirawat," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Sistem MyCARE semasa Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah Peringkat Negeri Sembilan di Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di sini pada Selasa.

Hadir sama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Menurut Sutekno, apa yang lebih membimbangkan apabila dadah sintetik seperti syabu, pil kuda dan eramin 5 boleh dibeli secara dalam talian tanpa perlu ada lokasi untuk menghisap dadah.

Sehubungan itu katanya, ibu bapa dinasihatkan supaya memantau anak masing-masing kerana dikhuatiri mereka memesan dadah menggunakan khidmat penghantaran ke rumah.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, tiada lokasi di Negeri Sembilan yang dikesan berstatus kawasan merah atau kawasan berisiko tinggi (KBT) membabitkan aktiviti penyalahgunaan dadah.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, setakat ini hanya terdapat dua kawasan berstatus zon kuning iaitu di Ampangan di sini, dan Rompin di Jempol.

"KBT ini adalah lokasi yang membabitkan aktiviti dadah serius selain gejala sosial yang lain.

"Kerajaan negeri bersama AADK sedang berusaha untuk menghijaukan kedua-dua kawasan itu," katanya.

Sementara itu, Aminuddin berkata, bagi memudahkan lagi usaha penyaluran bantuan dan mengoptimumkan penggunaan, sistem MyCARE dibangunkan bagi menggantikan sistem manual yang digunakan.

"Sistem yang dibangunkan bermula pada Oktober tahun lepas dan telah sempurna disiapkan mengikut butiran dan skop projek. Ia menggantikan sistem manual melalui Microsoft Excel dengan sistem MyCARE yang mudah diakses, mesra pengguna dan dijamin keselamatan datanya," katanya.

Jelasnya, proses pengumpulan data klien yang merangkumi data lengkap klien terdiri daripada maklumat peribadi, keluarga, anak dan kediaman kini boleh mula dimasukkan ke dalam sistem berkenaan untuk penyelarasan dan pemantauan program.

"Hasil data akan dioptimumkan untuk menyalurkan bantuan mengikut keperluan klien antaranya bantuan penempatan pekerjaan, bantuan perniagaan, pertanian dan. Semua pihak berkaitan dapat memberi bantuan dengan lebih efisien," katanya.