Malaysia, Mesir sepakat aktifkan semula mekanisme dua hala

Saifuddin (kanan) bersama Sameh Shoukry ketika sidang akhbar bersama selepas mengadakan mesyuarat dua hala Malaysia-Mesir pada Selasa. - Foto Bernama
Saifuddin (kanan) bersama Sameh Shoukry ketika sidang akhbar bersama selepas mengadakan mesyuarat dua hala Malaysia-Mesir pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia dan Mesir sepakat untuk mengaktifkan semula mekanisme dua hala dengan mengadakan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) Kedua sebelum November tahun ini, kata Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

"JCM peringkat menteri luar kedua-dua negara akan dihoskan Malaysia," katanya pada sidang akhbar bersama rakan sejawatannya dari Mesir Sameh Hassan Shoukry selepas mengadakan mesyuarat dua hala pada Selasa dengan mesyuarat pertama JCM berlangsung di Kaherah pada 2008.

Mesyuarat JCM Kedua perlu diadakan sebelum November, memandangkan Mesir bakal menjadi tuan rumah Persidangan ke-27 Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (COP27 - UNFCCC) di Sharm El Sheikh pada November 2022.

Sementara itu, Sameh Shoukry, yang dalam rangka lawatan sulung tiga hari ke Malaysia bermula Isnin berkata, JCM kedua penting untuk meningkatkan lagi bidang kerjasama antara kedua-dua negara selain membangunkan pelan hala tuju bersama menerusi pelbagai bidang kerjasama.

Menteri Luar Mesir itu berkata, lawatannya ke Malaysia amat signifikan kerana ia mewakili perubahan kualitatif dalam hubungan dua hala kedua-dua negara dari segi politik, ekonomi dan budaya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Malaysia kerana berjaya melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, pembukaan semula sempadan antarabangsa pada 1 April dan dipilih menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk penggal 2022-2024.

Sementara itu, Saifuddin berkata, pertemuan dua hala itu turut menyentuh mengenai konflik Ukraine-Rusia, kedua-dua pemimpin bersetuju perlu ada usaha berterusan untuk mencari penyelesaian politik bagi isu ini melalui dialog dan rundingan secara aman.

"Pada masa sama, kami sepakat bahawa perlu ada usaha untuk meredakan ketegangan dan menumpukan kepada bantuan kemanusiaan.

Artikel Berkaitan:

"Kami berkongsi pandangan bahawa sekatan sepihak boleh memburukkan lagi ketegangan dan memberi kesan kepada serantau dan global," tambahnya.

Mesir ialah rakan dagang terbesar Malaysia di Afrika utara. Pada 2021, jumlah dagangan Malaysia-Mesir bernilai RM3.8 bilion (AS$904.1 juta), peningkatan ketara 84.5 peratus, berbanding yang direkodkan pada 2020. - Bernama