Modul 10 minit perhimpunan tidak diwajibkan: Maszlee

Maszlee Malik - Foto Bernama
Maszlee Malik - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan tidak pernah mewajibkan mana-mana sekolah untuk melaksanakan Modul 10 Minit Perhimpunan (M10MP), kata menterinya Dr Maszlee Malik.

Bagaimanapun, beliau berkata pengetua sekolah dan guru besar digalak menggunakan kreativiti mengikut konteks sekolah dalam melaksanakan aktiviti di sekolah masing-masing.

“Modul ini diperkenalkan oleh Institut Pendidikan Guru, Kampus Ilmu Khas (IPG KIK) sebagai antara inovasi yang dirancang bagi membudayakan Pembelajaran Abad ke-21 dan penerapan nilai. Sehingga kini, lebih 260 sekolah telah mengamal dan melaksanakan modul ini,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) yang mahu kementerian menyatakan keberkesanan M10MP dalam menerapkan nilai pendidikan komprehensif kepada pelajar menerusi penekanan Pembelajaran Abad ke -21.

Berdasarkan tinjauan terhadap pentadbir sekolah dan 267 guru-guru berhubung keberkesanan M10MP kepada kemenjadian murid pada 2018, Maszlee berkata program itu telah menyumbang kepada penguatkuasaan kemahiran insaniah murid daripada pelbagai aspek.

Antaranya melibatkan kepimpinan, komunikasi, pemikiran inovatif dan kreatif, kemahiran dwibahasa, pembangunan karakter serta nilai dan etika murid, katanya.

Maszlee juga berkata KPM sedang menyediakan manual kesedaran sivik dan amalan nilai murni yang memberi fokus kepada tanggungjawab, kebahagiaan, kasih sayang dan hormat-menghormati.

Ia akan disesuaikan dengan pelbagai etnik di Malaysia sebagai usaha ke arah pembentukan warganegara yang baik selain memperkukuhkan perpaduan nasional.

Artikel Berkaitan:

Malah, KPM juga dalam usaha memperkenalkan semula pendidikan sivik di sekolah yang akan dimasukkan dalam semua subjek sedia ada dan turut digabungjalin dengan aktiviti kurikulum dan ko- kurikuklum tambahan, katanya. - Bernama