Kesilapan kerajaan PH punca waris Sultan Sulu tuntut pampasan

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan harus menyiasat punca dan mengambil tindakan segera atau kedaulatan negara boleh tergadai sekiranya isu mengenai tuntutan pampasan ke atas Sabah tidak diselesaikan segera.

Pada 10 Mac lalu, peguam waris Sultan Sulu di London menyangkal dakwaan Jabatan Peguam Negara yang mendakwa identiti waris terbabit diragui kerana terdapat surat daripada kerajaan Malaysia yang mengiktiraf tuntutan itu pada tahun 2019.

Surat rasmi tersebut yang telah ditandatangani oleh bekas Peguam Negara, Tommy Thomas turut melampirkan salinan sebenar penghakiman Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Borneo Utara, Charles F Macaskie pada 1939 bahawa Malaysia tidak mempertikaikan identiti individu tersebut dan hak mereka untuk dibayar.

Dalam surat itu, Tommy turut menyatakan rasa kesal kerana bayaran dihentikan pada 2013 selepas insiden pencerobohan Lahad Datu, selain menambah bahawa Malaysia ‘kini bersedia dan sanggup’ membayar semua tunggakan anak guam Paul Cohen dari 2013 hingga 2019 yang berjumlah RM48,300.

Dalam pada itu, Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan surat berkenaan sebagai ‘luar biasa bodoh’ menjadi punca peguam United Kingdom (UK) itu menyangkal pendirian Peguam Negara hari ini bahawa identiti waris terbabit diragui.

Najib berkata, peluang untuk menang kes menjadi rumit kerana Malaysia sudah mengaku salah dan kesal dalam surat itu.

“Sebab ini isu berat, saya nak tanya pemimpin kerajaan dahulu termasuk Tun Dr Mahathir (Mohamad), (Lim) Guan Eng dan Muhyiddin (Yassin), adakah surat yang luar biasa bodoh ini diluluskan Jemaah Menteri masa itu ataupun ia hanya surat daripada Tommy sebagai Peguam Negara sahaja,” soalnya di Facebook baru-baru ini.

Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman pula berkata, keberanian pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu menuntut kedaulatan negeri Sabah adalah disebabkan kurang pengalaman diplomasi antarabangsa oleh bekas Ketua Menteri Sabah pada tahun 2018.

Artikel Berkaitan:

Presiden Parti Cinta Sabah itu berkata, bekas ketua menteri tersebut mengambil tindakan semborono melayan tuntutan waris Kesultanan Sulu dengan mahu mengadakan perbincangan dan rundingan bersama Filipina.

"Semasa saya menjawat jawatan Menteri Luar, Filipina tidak pernah bertegas (tuntutan) seperti sekarang. Saya menyalahkan bekas Ketua Menteri Sabah interim yang lalu (2018) disebabkan kurang pengalaman dan tidak tahu menanganinya menyebabkan Filipina berani membuat tuntutan tidak berasas itu.

"Hal ini membuktikan bagaimana beliau mengabaikan sejarah negara dan undang-undang antarabangsa sekali gus menggugat kedaulatan negeri," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut Anifah, Sabah diiktiraf oleh United Nations (UN) dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian dalam Malaysia sejak penubuhan Persekutuan pada 16 September 1963.

"Malah, rakyat Sabah juga memilih pada tahun 1963 untuk membentuk Malaysia berbanding menjadi sebahagian daripada Filipina," katanya.

Baru-baru ini, Wisma Putra dan Peguam Negara dalam kenyataan bersama mengatakan bahawa Malaysia telah menolak perintah timbang tara Perancis untuk membayar hampir RM63 bilion kepada waris Kesultanan Sulu.

Tambah kenyataan bersama itu lagi, kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan itu dan tidak mengambil bahagian dalam prosiding timbang tara itu kerana Malaysia sentiasa mempertahankan dan tidak pernah mengetepikan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat.

Malah menteri di Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Parlimen dan Undang-undang) menegaskan lantikan penimbang tara, Dr Gonzalo Stampa telah dibatalkan dan tidak lagi sah dari segi undang-undang.

Pada 22 Januari 1878, perjanjian dimeterai antara Sultan Mohamet Jamal Al Alam (Sultan Sulu) dengan Baron de Overbeck dan Alfred Dent.

Perjanjian itu bertujuan untuk menjaga kepentingan mereka di Sabah namun selepas pencerobohan Tentera Kesultanan Sulu di Lahad Datu, Sabah pada 12 Februari 2013 kerajaan Malaysia menghentikan serahan wang ihsan kepada waris Kesultanan Sulu.