Musim bertuah peneroka, pekebun kelapa sawit

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SEJAK pertengahan tahun lalu hingga sekarang, inilah waktu yang sangat bertuah buat peneroka Felda serta pekebun kecil kelapa sawit seluruh negara kerana mereka sedang menikmati keuntungan harga semasa buah tandan segar (BTS) sawit yang cukup tinggi.

Bermula dengan harga sekitar RM800 hingga RM1,000 satu tan pertengahan tahun lalu, harga BTS terus meningkat RM1,200 satu tan pada Disember dan Januari tahun ini.

Kemudian harga komoditi itu terus meningkat ke paras RM1,700 hingga RM1,800 pada Februari.

Pada 4 Mac lalu, ia telah melebihi RM1,900 satu tan. Manakala harga sawit relai menokok lebih tinggi iaitu melebihi RM2,000 satu tan.

Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh dalam sidang media di ibu negara bulan lalu berkata, harga semasa sawit yang merekodkan harga tertinggi dalam sejarah, telah memberi peluang kepada peneroka menikmati pendapatan yang lebih baik.

Dengan kenaikan harga BTS dan ladang diusahakan seluas 10 ekar, rata-rata peneroka kini memperoleh pendapatan RM8,000 hingga RM12,000 sebulan.

Malah di sesetengah kawasan Felda yang memiliki sistem pengurusan ladangnya lebih baik, ada peneroka meraih pendapatan RM15,000 hingga RM20,000 sebulan.

Menurut Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam, situasi ini dijangka terus kekal sekurang-kurangnya sehingga Jun tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Krisis Rusia-Ukraine telah menjejaskan eksport minyak bunga matahari dan minyak bijirin lain dari rantau Laut Hitam, sekali gus menjadikan minyak sawit Malaysia sebagai pilihan untuk minyak sayuran global.

Di sebalik peningkatan harga BTS ini, seorang rakan penulis yang juga anak peneroka memberitahu, sekiranya tidak berhadapan dengan isu kekurangan tenaga pekerja, rata- rata peneroka mampu meraih lebih pendapatan lagi.

Kelompongan ini telah menyebabkan berlaku kelewatan operasi rutin pekerjaan ladang seperti pembajaan, meracun dan menuai kerana rata-rata peneroka generasi pertama sudah berusia lanjut, tidak larat lagi bekerja.

Di Felda Lepar Utara Satu, Jerantut, Pahang, katanya, buruh dari India yang sedia ada tidak cukup tangan melaksanakan kerja ladang dengan sempurna.

Masih ada tandan yang masak tertinggal di pokok tidak dituai dan ada peneroka yang gagal menuai dua pusingan sebulan menyebabkan buah sawit terlalu ranum dan akhirnya rosak di atas pokok.

Teknologi moden ganti buruh

Bercakap soal tenaga buruh, Idris dalam satu taklimat media memberitahu, Felda tidaklah terlalu berdepan isu kekurangan tenaga pekerja yang serius.

Jelas Idris, pihaknya sendiri telah mengambil beberapa inisiatif untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan membuat pengambilan pekerja tempatan bekerja di sektor perladangan.

Antaranya, Felda telah menyatukan pengurusan ladang berskala besar dengan mewujudkan program Penyelesaian Pengurusan Ladang Pintar yang menggunakan teknologi dron khususnya untuk penyemburan racun serangga.

Felda sendiri menggalakkan penyertaan peneroka melalui pelaksanaan beberapa program seperti kontrak borong kecil (KBK), briged operasi ladang (BOL) dan aplikasi Field-Gig.Melalui KBK, peneroka boleh menjadi kontraktor untuk kerja-kerja operasi ladang secara kecil-kecilan, di mana mereka adalah kontraktor dan pekerja pada masa yang sama.

BOL pula menawarkan pelbagai elaun khas seperti elaun motosikal serta perumahan bagi menarik minat penduduk di penempatan Felda, khususnya anak peneroka menjadi pekerja ladang.

Sementara itu, Field-Gig ialah sistem permohonan kerja dalam talian menggunakan aplikasi pintar fleksibel yang membolehkan pemohon memilih jenis kerja, tempat serta masa paling sesuai dengan mereka.

Diharapkan dengan peningkatan semasa harga sawit, penggunaan teknologi moden dan inisiatif-inisiatif yang menarik akan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing serta memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

* Mohd Hazrizal Mohd Hanapiah ialah Penyunting Sinar Harian