Cadangan teroka air bawah tanah tidak berasas: PBAPP

Jaseni
Jaseni
A
A
A

GEORGETOWN - Cadangan untuk Pulau Pinang meneroka pengeluaran air bawah tanah adalah tidak berasas, tidak rasional dan penuh risiko.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa berkata, saranan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai perkara itu dilihat tidak sesuai untuk Pulau Pinang.

Menurutnya, ia disebabkan keluasan tanah Pulau Pinang hanya 1,048 kilometer persegi (km2) yang mana, kajian oleh agensi Persekutuan telah menunjukkan bahawa Pulau Pinang tidak mempunyai ketersediaan air bawah tanah yang boleh diyakini dan mencukupi dalam wilayahnya untuk memenuhi permintaan air negeri sehingga 2050.

"Pada 2020, kepadatan penduduk Pulau Pinang adalah 1,695 orang/km2. Statistik ini menggambarkan hakikat bahawa Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang mempunyai perbandaran yang tinggi. Menggali tanah untuk mendapatkan air di kawasan bandar Pulau Pinang akan menimbulkan kesulitan kepada orang ramai dan perniagaan.

"Lebih penting lagi, aktiviti cari gali dan penerokaan air bawah tanah sudah pasti akan meletakkan ribuan nyawa dan harta benda dalam risiko terutamanya di kawasan yang mempunyai bangunan tinggi," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, Tuan Ibrahim berkata, Pulau Pinang masih boleh meneroka beberapa sumber air yang lain susulan Perak membuat keputusan tidak membekalkan air mentah kepada negeri itu.

Beliau berkata, antara alternatif lain adalah menerusi sumber air bawah tanah seperti yang diambil oleh Kelantan.

Dalam pada itu, Jaseni berkata, Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) Amerika Syarikat dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) telah mengeluarkan amaran mengenai bahaya menggunakan atau mengambil air bawah tanah yang berpotensi tercemar, terutamanya di kawasan yang mempunyai populasi manusia yang tinggi serta penggunaan tanah yang intensif oleh manusia.

Artikel Berkaitan:

"Disebabkan keadaan sosio ekonomi, risiko pencemaran air bawah tanah adalah secara eksponen lebih tinggi di Pulau Pinang. PBAPP tidak berhasrat untuk meneroka sumber air mentah yang berpotensi berbahaya untuk operasi bekalan air di Pulau Pinang.

"Selain itu, telah didokumentasikan bahawa pengeluaran air bawah tanah telah menyebabkan penurunan tanah (tenggelam) seperti di Kelantan, Bangkok, Venice dan Jawa. Kelantan merupakan antara negeri yang mempunyai penggunaan air bawah tanah yang tertinggi.

"Kertas kerja 2018 yang diterbitkan oleh penyelidik dari Universiti Otago, Dunedin, New Zealand menyatakan bahawa tanah di utara Kelantan telah menurun pada kadar maksimum kira-kira 4.22 milimeter setahun. Pulau Pinang mahu mengurangkan risiko air tetapi kita tidak mahu menanggung risiko yang lebih tinggi jika berlaku kejadian bangunan runtuh," katanya.

Tambahnya lagi, Laporan Interim Kajian Kejuruteraan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) pada September tahun lalu tidak menganggap air bawah tanah sebagai sumber air mentah tambahan yang boleh dipercayai dan mencukupi untuk Pulau Pinang yang berjumlah kira-kira 1,000 juta liter sehari (JLH) sehingga 2050.

"PBAPP belum meneroka air bawah tanah kerana risikonya terlalu tinggi manakala potensi hasil (jika ada) terlalu rendah untuk Pulau Pinang. Bagi memenuhi keperluan air pada masa depan, kita akan terus mengoptimumkan operasi pengabstrakan air mentah daripada semua sumber air mentah dalam negerinya, terutamanya dari Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang di Seberang Perai Utara.

"Selain itu, kita juga akan melaksanakan projek rawatan air Pelan Kontengensi Air Mentah 2030 (RWCP 2030) untuk memastikan bekalan air terawat mencukupi sehingga 2030. PBAPP juga akan terus memantau perkembangan berkaitan Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS)," katanya.

Katanya lagi, PBAPP juga menggunakan teknologi desalinasi untuk meneroka jumlah air laut tanpa had yang berpotensi sebagai sumber air mentah alternatif selepas 2030, seperti yang disyorkan dalam Inisiatif Bekalan Air Pulau Pinang 2050 (PWSI 2050).