Negeri Sembilan sedang teliti rapatkan saf berjemaah

Aminuddin (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada seorang pesara, Abdul Jamal Dahalan, 61.
Aminuddin (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada seorang pesara, Abdul Jamal Dahalan, 61.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan sedang meneliti dan membincangkan keputusan sama ada saf solat berjemaah di masjid dan surau di negeri ini kembali dirapatkan atau sebaliknya.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keputusan itu akan diumumkan dalam masa terdekat setelah mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan,Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

“Mengenai jarak saf itu kita tak tahu lagi keadaannya tapi kita sediakan dua prosedur operasi standard (SOP).

"Kita akan pilih yang mana satu. Kalau rapat (saf) ada caranya, bukan rapat macam dulu, kita ada cara kita.. mungkin satu sejadah seorang,” katanya pada sidang akhbar selepas selesai Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan tahun 2021 di sini pada Isnin.

Pada majlis berkenaan seramai 114 pesara yang berkhidmat dengan sektor awam di Negeri Sembilan diraikan melibatkan 81 bersara wajib, 16 bersara pilihan, dua individu bersara atas kesihatan dan 15 meninggal dunia ketika dalam perkhidmatan.

Media sebelum ini melaporkan bermula 1 April ini, aktiviti solat jemaah di masjid, surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, keputusan berkenaan diambil susulan keputusan Malaysia beralih ke fasa peralihan ke endemik bermula April ini.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Aminuddin menyifatkan kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu lalu sebagai satu mesej untuk diperbaiki, diperkuatkan dan diperteguhkan.

Artikel Berkaitan:

"Mesej itu adalah untuk semua parti namun apa yang penting kita hendak beri kesedaran bahawa demokrasi itu harus disuburkan kembali. Kita tak nak nanti politik ini dilihat sebagai membosankan yang akhirnya akan merugikan negara," katanya.

Pada PRN Johor, Barisan Nasional (BN) mendapat kemenangan selesa melebihi majoriti dua pertiga apabila berjaya memperoleh 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Menerusi keputusan rasmi dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Pakatan Harapan berjaya memenangi 11 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) tiga, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masing-masing satu kerusi.