Sila log masuk terlebih dahulu.

Khairuddin umum keluar Pas

Mohd Khairuddin - Foto Bernama
Mohd Khairuddin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengumumkan berhenti menjadi ahli Pas berkuat kuasa Isnin.

Mohd Khairuddin berkata, keputusannya itu sudah dimaklumkan kepada Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika bertemu di bangunan Parlimen jam 2.30 petang.

“Merujuk kepada Perlembagaan Pas Fasal 15(1)(a) Keberhentian Ahli dengan permintaan sendiri dan (2) seseorang ahli bolehlah memaklumkan keberhentiannya daripada menjadi ahli dengan bersurat kepada Setiausaha Agung, maka saya pemegang nombor keahlian Pas 313899 memohon untuk berhenti daripada menjadi ahli Pas.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pas atas peluang menjadi ahli sejak 1989 selama 33 tahun dan seterusnya menjawat pelbagai jawatan kepimpinan sejak 1999 daripada AJK, pimpinan negeri, Dewan Ulama negeri dan pusat, Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dan Majlis Syura Ulama dengan jawatan tertinggi dan terakhir sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama sehingga 2022,” katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Isnin.

Dalam pada itu, bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu turut memaklumkan beliau akan menyerahkan elaun bulanan sebagai ahli Parlimen bagi waktu berbaki sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlangsung kepada parti itu sebagai memenuhi baiah ketika bertanding PRU14.

“Sebagai Muslim, saya akan terus memperjuangkan dasar Pas iaitu Islam, seruan iaitu Allahu Akbar dan tujuan serta usahanya sebagaimana termaktub dalam Fasal 3, 4, 5 dan 6 Perlembagaan Pas yang semuanya adalah selaras dengan kehendak Islam.

“Saya juga menyeru semua ahli Pas untuk terus istiqamah dengan perjuangan parti dan terus memperjuangkan Islam menerusi wadah Pas,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai faktor tindakan beliau, Mohd Khairuddin enggan menyatakan sebab dan mengakui masih menyayangi parti itu.

Artikel Berkaitan:

“Alasan berhenti dari Pas? Sukar untuk dijawab. Saya sayangkan Pas dan kekal Pas insya-ALLAH, tetapi bukan sebagai ahli berorganisasi, kekal sebagai memperjuangkan matlamatnya.

“Sementara itu, saya bergerak sebagai ahli Bebas. Agak berat untuk saya memohon berhenti (dari Pas) tetapi mengikut peruntukan parti, saya memohon untuk berhenti sendiri,” katanya.