'Kantung' KLFA terjejas

Khalid bersama barisan pemain dan pegawai KL City meraikan kejayaan muncul juara Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil tahun lalu.
Khalid bersama barisan pemain dan pegawai KL City meraikan kejayaan muncul juara Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil tahun lalu.
A
A
A

ISU dalaman yang membelenggu Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) ketika ini nyata memberi impak sehingga menjejaskan pelan penswastaan skuad Kuala Lumpur (KL) City FC kendalian Bojan Hodak.

Difahamkan, penyandang juara Piala Malaysia itu sedang mengalami masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai selama dua bulan sejak Januari lalu.

Presiden KLFA, Khalid Samad berkata, KLFA 'kehilangan' RM5 juta selepas syarikat yang berminat untuk mendapatkan 50 peratus saham pemilikan dalam KL City FC gagal menepati janji mereka.

"Kita masih memerlukan dana daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kita perlukan sokongan daripada mereka untuk meneruskan semangat KL City FC.

"Bagi musim 2022, kita masih belum lagi menerima apa apa daripada DBKL selain pembayaran bonus.

Ini kerana pelan penswastaan yang cuba kita lakukan tidak berjaya.

"Pihak yang mahukan 50 peratus saham pada nilai RM5 juta tidak dapat melakukan seperti yang dipersetujui dan ini menyebabkan kedudukan kewangan kita menjadi kacau bilau.

"Stadium juga dipajak kepada mereka atas sebab sokongan kepada KL City FC.

Artikel Berkaitan:

Stadium boleh menjadi sumber kewangan kita tetapi ia tidak diberikan kepada KLFA ataupun KL City FC.

"Jadi ini memberi kesan kepada jangkaan aliran wang tunai kita," katanya dalam sidang media selepas Kongres KLFA ke-33 di sebuah hotel di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada Ahad.

Khalid berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan Kementerian Wilayah Persekutuan bagi membincangkan apa yang diperlukan sebagai jaminan untuk sokongan ke atas skuad Warga Kota itu.

"Apa yang berlaku ketika ini pernah terjadi pada tahun lalu apabila kita tidak menerima sebarang dana pada permulaan musim.

Kita akan bertemu mereka untuk mengadakan perbincangan.

"Kita akan lihat apa yang akan terjadi tetapi saya harap atas dasar untuk mengembangkan bola sepak, kita boleh mengetepikan perbezaan politik dan fokus untuk memajukan bola sepak.

"Kita sedar perlu mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan khususnya bermula 2023 di mana kita perlu berdikari," jelasnya.