Mandat besar, peluang BN Johor tunaikan janji pada rakyat

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad. - Foto Bernama
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Faktor imej ‘Datuk Hasni Mohammad’ yang bersih, jentera yang efisien selain perpecahan di pihak pembangkang disifatkan antara punca yang menyumbang kepada kemenangan bergaya lebih dua pertiga majoriti Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu.

Justeru, mandat besar yang diperoleh gabungan parti itu dilihat sebagai landasan yang baik bagi BN membentuk satu kerajaan yang stabil sekali gus memberikan peluang menebus maruah yang tercalar sebelum ini.

BN bukan sahaja mencatat kemenangan di 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan, malah merampas kembali kerusi-kerusi yang ia kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lepas menerusi parti komponennya UMNO, MIC dan MCA.

Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata, kemenangan BN sudahpun dijangka terutama apabila berhadapan dengan parti pembangkang yang dilihat berpecah sehingga menyebabkan berlakunya perpecahan undi dalam kalangan mereka.

Mujibu
Mujibu

"Kekuatan akar umbi adalah kelebihan (BN). Pengundi akar umbi masih setia menyokong dan tidak ada cabaran sebenar daripada pembangkang. Meskipun ada serangan di Felda (dengan pelbagai isu) ia masih dapat ditangani apabila banyak kerusi Felda tak lari daripada BN,” kata beliau kepada Bernama, di sini pada Ahad.

Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Negeri Sembilan itu berkata, meskipun BN meraih kemenangan selesa, parti itu perlu 'reality check' memandangkan pelbagai perkara perlu dilakukan menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.

Apa yang penting, momentum kemenangan BN pada PRN Johor ini akan meletakkan landasan menuju PRU15 dengan semua mata tertumpu pada Perhimpunan Agung UMNO yang akan bermula Rabu ini (16 Mac), kata Mujibu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, penganalisis sosiopolitik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, faktor jentera UMNO yang lebih efisien dan sistematik juga menyumbang kepada kemenangan BN.

Awang Azman
Awang Azman

"Selain itu, faktor Hasni Mohammad yang dilihat terbukti berjaya dalam pentadbirannya, tidak terpalit dengan isu-isu negatif dan diumumkan sebagai calon Menteri Besar oleh BN manakala di pihak pembangkang kegagalan menamakan calon Menteri Besar mereka telah memberikan kelebihan kepada BN.

"Hasni juga dilihat mempunyai visi besar untuk Johor dan diperkukuhkan lagi menjadi MB kerajaan penyandang telah memberikan kelebihan kepada BN untuk menang dalam PRN Johor,” kata beliau yang juga Pensyarah Sosiobudaya di Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya dan Felo Penyelidik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) itu.

Bagi penganalisis pilihan raya, Dr G Manimaran, keputusan tersebut menterjemahkan rakyat mempunyai kuasa dalam menentukan naik turun sesebuah parti.

Manimaran
Manimaran

"Hari ini kita (rakyat) beri mandat, kalau mandat tidak dipenuhi, kita (rakyat) beri undi pada yang lain.

"Selain itu, saya lihat ada undi pembangkang seperti Pakatan Harapan (PH), dilihat terdapat penurunan undi mereka berbanding PRU14. Kalau secara purata 56 kawasan DUN, terdapat penurunan undi PH lebih kurang 200,000 hingga 300,000 undi,” kata beliau yang juga bekas Ahli Tetap Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).

Penganalisis politik, Dr Che Hamdan Che Mohd Razali berkata, UMNO dan BN perlu berusaha untuk meyakinkan rakyat dari segi komitmen mereka untuk mempunyai pemimpin yang berintegriti, apatah lagi dengan pengundi telah membuat keputusan pada PRN Johor yang berlaku dalam suasana demokratik.

Pensyarah kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang itu berkata, walaupun peratusan keluar mengundi rendah, sekiranya jentera BN tidak bekerja keras memastikan pengundi tetap dan ahli parti turun mengundi, mereka tidak mampu untuk beroleh kemenangan besar.

"Bagi saya, BN pantas belajar dari kesilapan yang lalu dan mereka dapat mengenal pasti kelemahan mereka. Apa yang sangat diharapkan sekarang adalah betapa perlunya untuk menjaga kebajikan rakyat dan berterusan membela nasib rakyat yang dibelenggu dengan masalah ekonomi dan taraf hidup yang semakin meruncing,” kata beliau lagi.

Daripada 40 kerusi yang dimenangi BN semalam, UMNO merangkul kejayaan di 33 kawasan, MCA empat manakala MIC tiga berbanding PRU14, yang hanya memperoleh 19 kerusi (UMNO 17 kerusi, MIC dua kerusi).

Gabungan parti UMNO, MIC dan MCA itu juga berjaya merampas semula Pemanis, Kemelah, Bekok, Tenang, Bukit Pasir, Gambir, Serom, Bukit Naning, Semerah, Yong Peng, Parit Yaani, Senggarang, Mahkota, Paloh, Tiram, Permas, Larkin, Kempas, Kota Iskandar, Bukit Permai, Pulai Sebatang dan Pekan Nanas.

Selain 40 kerusi yang dimenangi BN pada PRN kali ini, PH menang 11 kerusi, Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi manakala PKR dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masing-masing satu kerusi.

BN turut merekodkan undi popular sebanyak 43.11 peratus berbanding PN berjumlah 24.04 peratus manakala PH sebanyak 20.48 peratus, selain 85 calon hilang deposit daripada 239 calon yang bertanding.

Kerusi Skudai yang dimenangi Marina Ibrahim daripada PH, merekodkan undi majoriti paling banyak sebanyak 13,943 manakala kerusi Bukit Batu, satu-satunya kerusi PKR, merupakan kerusi yang mempunyai undi majoriti paling sikit iaitu 137 undi.

Setiausaha Agung Muda, Amira Aisya Abd Aziz turut melakar kemenangan manis apabila penyertaan kali pertama parti itu dan dirinya dalam PRN Johor membuahkan hasil dengan memperoleh kerusi DUN Puteri Wangsa.

Sementara itu, pilihan raya itu turut menyaksikan kemunculan parti baharu iaitu Muda, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) manakala Parti Warisan membuat penampilan sulung di Semenanjung. - Bernama


Dapatkan keputusan #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my