Konvokesyen Kumpulan MSU College rai lebih 2,000 graduan

Shukri bergambar kenangan bersama barisan penerima Anugerah Khas kecemerlangan.
Shukri bergambar kenangan bersama barisan penerima Anugerah Khas kecemerlangan.
A
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Seramai 2,014 graduan diraikan pada Majlis Graduasi Kumpulan MSU College (MSUC) kali ke-24 di sini, yang berlangsung selama dua hari bermula pada Ahad.

Graduan daripada 24 program pengajian itu melibatkan 1,447 penerima peringkat diploma dan 567 graduan peringkat sijil.

MSU dalam kenyataannya berkata, Sijil Pengurusan menyumbang jumlah graduan terbesar iaitu seramai 325 orang diikuti Diploma Pengurusan seramai 315 dan Diploma Seni Kulinari (300).

"Turut diraikan ialah graduan sulung bagi dua program pengajian iaitu Sijil Pengurusan Spa dan Kecantikan dan Sijil Pastri, Bakeri dan Konfeksionari," kata kenyataan itu pada Ahad.

Majlis konvokesyen itu dirasmikan Presiden MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan turut dihadiri Naib Canselornya, Prof Puan Sri Dr Junainah Abd Hamid.

Kenyataan itu memaklumkan empat kategori anugerah khas kecemerlangan turut diberikan kepada 18 graduan bagi mengiktiraf pencapaian mereka dalam aspek akademik dan kemahiran insaniah.

“Mereka adalah Aina Yusrina Abdullah (Diploma Perakaunan) bagi Anugerah Emas Presiden dan Ken O'Neill Anak Clarance (Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik) bagi Anugerah Mohd Shukri Yajid.

"Selain itu, 13 graduan menerima Anugerah Akademik dan tiga lagi menerima Anugerah Industri.

Artikel Berkaitan:

"Majlis graduasi kali ini juga turut melibatkan 54 graduan Diploma Pengurusan Hotel yang merupakan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), markas pengkalan Lumut, Perak," kata kenyataan itu.

Penerima Anugerah Emas Presiden, Aina Yusrina (kiri) dan penerima Anugerah Mohd Shukri Yajid, Ken O'Neill bersama Shukri
Penerima Anugerah Emas Presiden, Aina Yusrina (kiri) dan penerima Anugerah Mohd Shukri Yajid, Ken O'Neill bersama Shukri

Katanya lagi, selaku kolej satelit kepada MSU, Kumpulan MSU College menyediakan akses pendidikan menyeluruh kepada semua dalam melahirkan graduan yang kompeten dan versatil dengan penekanan kepada elemen Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Peranan tersebut terbukti berkesan apabila Majlis Graduasi Kumpulan MSU College (MSUC) kali ke-24 kali ini menyaksikan majoriti graduan adalah daripada 17 program pengajian berteraskan TVET.

"Melalui 10 kampus dan satu pusat pembelajaran, Kumpulan MSU College turut memainkan peranan proaktif dalam menyediakan pendidikan tinggi berkualiti dan berimpak tinggi apabila menawarkan program pengajian peringkat ijazah sarjana muda MSU secara pembelajaran fleksibel samada melalui mod bersemuka, hybrid dan dalam talian," katanya.

Tambah kenyataan itu, penarafan enam bintang dan lima bintang yang diterima Kumpulan MSU College menerusi Sistem Penilaian Kualiti dan Kesetaraan Kolej Swasta Malaysia (MyQUEST) dari Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia adalah pengiktirafan atas pencapaian cemerlang kolej dalam menyediakan perkhidmatan pendidikan yang memenuhi kriteria serta standard ditetapkan.