'Semua percuma, ambil sahaja jika mahu'

Antara barangan percuma ditawar termasuk perkakas rumah, buku, pakaian, kasut, peralatan bayi, mainan kanak-kanak dan makanan.
Antara barangan percuma ditawar termasuk perkakas rumah, buku, pakaian, kasut, peralatan bayi, mainan kanak-kanak dan makanan.
A
A
A

SHAH ALAM - Program ‘free market’ atau pasar percuma menjadi antara aktiviti tumpuan sempena program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, di sini pada Ahad.

Antara barangan ditawar termasuk perkakas rumah, buku, pakaian, kasut, peralatan bayi, mainan kanak-kanak dan makanan disumbangkan pelbagai pihak dalam usaha membantu golongan memerlukan.

Rata-rata pengunjung memuji usaha Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kerana penganjuran program itu dapat mendidik masyarakat supaya lebih sensitif terhadap keperluan masyarakat sekeliling.

"Ini kerana program itu dijalankan secara sukarela tanpa melibatkan wang ringgit, dan semua barangan dipamerkan boleh diambil," kata Adam Hashim, 47, yang membawa keluarganya ke program berkenaan.

Seorang kakitangan kerajaan, Abdul Karim Zaidan, 50, berkata, dia bersyukur masih ramai yang prihatin menderma pakaian serta barangan lain bagi membantu golongan memerlukan.

"Usaha harus dipuji, memandangkan ramai daripada golongan mangsa banjir berpendapatan rendah terjejas pendapatan dan memerlukan bantuan seperti ini," katanya.

Zawiyah Abdullah Yacob, 38, berkata, pengunjung juga boleh memilih sendiri pelbagai jenis pakaian seperti baju kurang, baju, seluar dan tudung dikehendaki sahaja, sekali gus mengelakkan pembaziran.

Pelancaran program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan yang bertemakan Sambutan Hari Wanita Sedunia itu disempurnakan Datuk Bandar MBSA, Datuk Zamani Ahmad Mansor.

Artikel Berkaitan:

Program turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti acara 'Recycle Fun Run', berbasikal, senamrobik, persembahan buskers, cabutan bertuah, aktiviti berkuda dan aktiviti belon udara panas.

Pihak MBSA juga menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai seperti pengoperasian pejabat bergerak Shah Alam 'on wheels', perpustakaan bergerak dan jualan pokok serta baja kompos.