83 individu ditahan di bawah POCA sehingga Mac

Khalil Azlan (kanan) menandatangani plak sempena Perasmian Balai Polis Melor di Kota Bharu sambil disaksikan Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun (dua dari kiri). - Foto SINAR HARIAN
Khalil Azlan (kanan) menandatangani plak sempena Perasmian Balai Polis Melor di Kota Bharu sambil disaksikan Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun (dua dari kiri). - Foto SINAR HARIAN
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Kebanyakan daripada 83 individu yang ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) di seluruh negara pada tahun ini terbabit jenayah rompakan bertujuan untuk membeli bekalan dadah.

Ahli Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ), Kementerian Dalam Negeri, Datuk Khalil Azlan Chik berkata, penahanan kesemua individu berusia antara 18 hingga 73 tahun itu dilakukan bermula 1 Januari sehingga 10 Mac lalu.

“Daripada jumlah itu, seramai 12 individu dikenakan perintah tahanan manakala 71 lagi dikenakan perintah pengawasan di seluruh negara.

“Kebanyakan mereka adalah penagih yang merompak bukan untuk kaya tetapi untuk membeli dadah selain individu yang terlibat jenayah kekerasan, curi kenderaan dan pemerasan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Balai Polis Melor di sini pada Ahad.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.

Khalil Azlan berkata, sepanjang tahun lalu, seramai 1,190 individu membabitkan pelbagai kesalahan ditahan di bawah POCA dengan 286 individu dikenakan perintah tahanan manakala 904 dikenakan perintah pengawasan.

KHALIL AZLAN. - Foto SINAR HARIAN
KHALIL AZLAN. - Foto SINAR HARIAN

“Penahanan di bawah akta tersebut membolehkan seseorang ditangkap dan ditahan tanpa bicara bagi tempoh tidak melebihi dua tahun dan polis bertanggungjawab untuk memulihkan mereka, jika belum pulih, tempoh boleh dilanjutkan.

Artikel Berkaitan:

“Bagi kes membabitkan rompakan, tindakan kepada mereka yang merompak, orang tengah yang membeli harta rompakan dan pembeli barangan rompakan, semua akan ditangkap,” katanya.

Tambah beliau, antara negeri yang tinggi rekod individu dikenakan POCA adalah di Johor, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.