Pas akur keputusan PRN Johor

Tan Sri Abdul Hadi Awang
Tan Sri Abdul Hadi Awang
A
A
A

SHAH ALAM - Pas bersama Perikatan Nasional (PN) akur dengan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sepertimana yang diumumkan pada Sabtu.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bagaimanapun berkata, pihaknya akan terus menyantuni rakyat berdasarkan peningkatan sokongan yang ketara di kebanyakan kerusi yang ditandingi.

“Pas merakamkan penghargaan kepada rakyat Johor yang telah mengundi calon-calon PN, khususnya yang dikemukakan oleh Pas.

“Sokongan yang diberikan amat bermakna bagi meneruskan agenda prihatin, berintegriti dan berkebajikan, demi kemaslatan negeri dan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalan pada itu, Abdul Hadi turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kesemua pihak yang bertugas dalam memastikan proses pilihan raya berjalan dengan lancar dan selamat.

“Di kesempatan ini, Pas mengucapkan terima kasih kepada para petugas Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), juga jentera parti yang bertugas dalam memastikan proses pilihan raya berjalan dengan lancar dan selamat,” katanya.

Pada Sabtu, Barisan Nasional (BN) mendapat kemenangan selesa melebihi majoriti dua pertiga apabila berjaya memperoleh 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada PRN Johor ke-15.

Menerusi keputusan rasmi dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PN menang tiga kerusi yang mana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyumbang dua, manakala Pas pula meraih satu kerusi.

Artikel Berkaitan:

Abdul Aziz Talib daripada Pas berjaya merampas kerusi DUN Maharani di Muar, Johor daripada Pakatan Harapan (PH), dengan meraih majoriti 1,037 undi.

Pada pilihan raya umum 2018, Pas menduduki tempat terakhir di Maharani. Mereka sebelum ini memegang kerusi itu pada 2008 dan 2013.


Dapatkan keputusan #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my