Ahli Parlimen pertikai 'pondok panas' dibuka berhampiran pusat mengundi

Syed Ibrahim
Syed Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh mempertikaikan tindakan parti lawan yang masih berkempen dengan mendirikan ‘pondok panas’ berhampiran pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Sagil Kampong di Tangkak.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor berkata, tindakan membuka pondok panas bertujuan untuk meraih undi itu merupakan kesalahan jelas di bawah Seksyen 26, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Saya dah buat tinjauan tadi di pusat mengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir di sini dan saya dapati masih ada pondok panas, memang ada yang masih berhimpun dan bertenggek-tenggek di kawasan tak sampai 50 meter daripada pusat mengundi,” ciapnya di Twitter pada Sabtu.

Menurutnya, laporan sudah dibuat kepada pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) namun keadaan itu didakwa masih tidak berubah.

"Pegawai SPR itu kata tindakan sudah diambil dan mereka bersurai tetapi telah berkumpul balik, ini tidak adil kepada parti-parti bertanding,” katanya.

Malah katanya, tindakan itu disifatkan sebagai perangai lama dan budaya buruk yang masih diamalkan oleh parti bertanding di negara ini.

“Saya tengok pondok panas Perikatan Nasional (PN) buka meja ‘clear’ depan sekolah ada kerusi duduk ramai-ramai.

“Sebelah kanannya pula ada buka tempat makan, katanya kantin sekolah tetapi ada bendera 'dacing',” ujarnya.

Artikel Berkaitan:


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my