Buka sempadan: MITI, KKM bincang protokol kesihatan sektor perkilangan

Mohamed Azmin (kanan) ketika bertemu para pengamal media selepas Majlis Pecah Tanah Rohm Wako Electronics Malaysia Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa II hari ini. - Foto Bernama
Mohamed Azmin (kanan) ketika bertemu para pengamal media selepas Majlis Pecah Tanah Rohm Wako Electronics Malaysia Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa II hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menentukan protokol kesihatan melibatkan sektor perkilangan bersempena dengan pembukaan sempadan April ini.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan membuka sempadan berkenaan sememangnya dinantikan kumpulan peniaga walaupun ia mengambil sedikit masa untuk diputuskan.

"Pembukaan sempadan ini akan menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang lebih rancak. Pada masa yang sama, kita juga telah mengawal penularan Covid-19 ini dengan lebih bertanggungjawab.

"Salah satu asasnya ialah kerana lebih 90 peratus pemain industri telah mendapat suntikan vaksin dan lengkap dua dos, maka kita merasakan keadaan lebih selamat hari ini dan pengawalan penularan jenis Omicron juga cukup terkawal," katanya semasa sidang media Majlis Pecah Tanah pembesaran kilang ROHM-Wako Sdn Bhd di sini pada Sabtu.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapha Mohamed dan Presiden ROHM-Wako Electronics (Malaysia) Sdn Bhd, Hideki Hashimoto.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, sebelum ini MITI telah pun mengambil inisiatif untuk menjayakan program pemberian vaksin kepada pekerja sektor perkilangan kerana sektor itu merupakan tulang belakang ekonomi negara.

Katanya, seramai 1.8 juta pekerja dalam sektor perkilangan telah menerima vaksin dos kedua dan kini MITI sedang berbincang dengan KKM untuk menjayakan program dos penggalak melibatkan kumpulan berkenaan.

"Kita juga telah wujudkan prosedur operasi standard (SOP) 'Safe at Work' sebagai contohnya dan kalau ada kes-kes baharu, kita tidak perlu menutup keseluruhan operasi kilang, hanya mengasingkan pekerja positif ini sahaja berdasarkan SOP tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Ini antara langkah-langkah proaktif yang diambil untuk memastikan ekonomi negara terus berjalan tanpa ada gangguan penularan Covid-19," katanya.