'Tiada alasan nak tangguh PRU'

Ahmad Zahid (tengah) ketika sidang media selepas melawat Bilik Gerakan MIC Johor di Tampoi di sini, pada Jumaat.
Ahmad Zahid (tengah) ketika sidang media selepas melawat Bilik Gerakan MIC Johor di Tampoi di sini, pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu kerajaan melihat semula kesan sekiranya hendak mempertimbangkan cadangan pembangkang untuk melanjutkan tempoh memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

Menurutnya, MoU yang sepatutnya tamat pada Julai tahun ini dan ingin dilanjutkan itu sebenarnya adalah harapan pembangkang bagi melengahkan pelaksanaan pilihan raya umum (PRU) kerana menyedari parti mereka kini sedang berdepan masalah dalaman.

Jelasnya, peluang yang ada ketika ini perlu digunakan sebaiknya bagi melaksanakan PRU sekali gus membolehkan pentadbiran kerajaan di peringkat nasional berjalan dengan stabil dan kukuh.

“MoU yang ditandatangani oleh mereka (pembangkang) ini akan berakhir pada Julai dan salah satu perkara dipersetujui adalah PRU mesti diadakan selepas Julai.

“Kenapa mereka ubah pendirian untuk melanjutkan MoU hingga akhir tahun 2023? Ertinya mereka ini ada masalah dalaman, tidak yakin dan ditolak oleh rakyat.

“Jangan kita beri peluang yang panjang untuk mereka memperbetulkan keadaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat lawatan sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Bilik Gerakan MIC Johor, Tampoi, di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, media melaporkan Setiausaha DAP, Anthony Loke Siew Fook menyarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melanjutkan MoU ditandatangani dengan alasan wabak Covid-19 masih belum selesai.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid berkata, seharusnya peluang yang dilihat memihak kepada BN kerana mempunyai ‘feel good factor’ ketika ini haruslah digunakan sebaiknya dan tidak melakukan kesilapan sama ketika PRU14.

“Saya harap kali ini apabila 'feel good factor' ini sudah menjadi pendokong utama untuk menggamit kepercayaan rakyat maka perlulah mandat diperolehi untuk menstabilkan negara kita,” katanya.

Mengulas mengenai wajah 'poster boy' yang akan digunakan BN sekiranya PRU diadakan dalam masa terdekat, Ahmad Zahid berkata, perkara itu akan diputuskan selepas perbincangan bersama semua pihak.

“Kita mempunyai sistem musyawarah dan kebersamaan barisan untuk membuat keputusan. Lazimnya kita akan mengadakan perbincangan bagi menentukan sebarang keputusan dan ketika itu baru kita akan umumkan.

Hari ini Jumaat dan PRN Johor masih berlangsung, jadi tidak sesuai untuk saya mengumumkannya. Kita tunggu apabila parti membuat keputusan,” katanya.