Program khas peremitan pendapatan ditamatkan hari ini: LHDN

LHDN memaklumkan Program Khas Peremitan Pendapatan (PKPP) kepada pemastautin di Malaysia yang mempunyai pendapatan yang disimpan di luar negara ditamatkan hari ini.
LHDN memaklumkan Program Khas Peremitan Pendapatan (PKPP) kepada pemastautin di Malaysia yang mempunyai pendapatan yang disimpan di luar negara ditamatkan hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Program Khas Peremitan Pendapatan (PKPP) kepada pemastautin di Malaysia yang mempunyai pendapatan yang disimpan di luar negara ditamatkan pada Jumaat.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan di sini memaklumkan, penamatan itu adalah susulan daripada pengumuman Kementerian Kewangan pada 30 Disember lepas berkenaan penambahbaikan dasar layanan cukai terhadap pendapatan luar negara.

"Keputusan untuk menamatkan PKPP ini dibuat setelah mengambil kira pengecualian cukai yang diumumkan Kementerian Kewangan terhadap pendapatan daripada punca luar negara yang diterima di Malaysia oleh individu pemastautin (selain pendapatan perkongsian).

"Layanan pengecualian yang sama juga diberikan kepada pendapatan dividen daripada punca luar negara yang dibawa masuk oleh syarikat dan perkongsian liabiliti terhad,” menurut kenyataan itu.

LHDN berkata, pengecualian berkenaan adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan dalam Perintah Cukai Pendapatan (Pengecualian) yang akan dikeluarkan di bawah seksyen 127 Akta Cukai Pendapatan 1967.

Kenyataan itu memaklumkan, walau bagaimanapun, pendapatan punca luar negara lain yang tidak dikecualikan dan dibawa masuk ke Malaysia mulai 1 Januari 2022 hendaklah dilaporkan di dalam Borang Nyata bagi tahun taksiran yang berkaitan.

Pendapatan luar negara yang masih tertakluk kepada cukai dan dibawa masuk ke Malaysia dalam tempoh 1 Jan 2022 hingga 30 Jun 2022 akan dikenakan cukai pada kadar konsesi tiga peratus seperti mana yang diumumkan melalui Bajet 2022 dan diperuntukkan di bawah Akta Kewangan 2021.

LDHN berkata, bagaimanapun selepas tamat tempoh tersebut, kadar cukai asal akan terpakai mengikut kategori pembayar cukai yang berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Untuk sebarang pertanyaan serta maklum balas boleh diajukan melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000/603-8911 1100 (Luar Negara), Hasil Live Chat dan portal rasmi LHDNM di https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/.

Pada 16 November tahun lepas, LHDN menawarkan PKPP kepada pemastautin di Malaysia yang mempunyai pendapatan yang disimpan di luar negara dan ia adalah selaras dengan pembatalan pengecualian cukai ke atas pendapatan daripada punca luar negara sepertimana yang diumumkan oleh Menteri Kewangan semasa membentangkan Bajet 2022. - Bernama