Pendedahan ke atas Sapura Energy kurang satu peratus daripada AUM

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PERMODALAN Nasional Berhad (PNB) memaklumkan pendedahannya dalam Sapura Energy Berhad (SEB) adalah kurang daripada 1 peratus daripada aset di bawah pengurusannya (AUM) berdasarkan pada harga pasaran semasa.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat, PNB menjelaskan, pihaknya sentiasa berpegang teguh kepada komitmen untuk melindungi dan bertindak demi kepentingan terbaik para pemegang unit.

“PNB sedia maklum bahawa Mahkamah Tinggi Malaysia, Kuala Lumpur, telah meluluskan permohonan SEB dan 22 anak syarikat milik penuhnya untuk mendapatkan perintah di bawah Seksyen 366 dan 368 Akta Syarikat 2016.

“Perintah ini merupakan kebenaran untuk berunding dengan pemiutang mengenai cadangan skim pengaturan (scheme of arrangement) dan Perintah Penyekatan (Restraining Order) untuk menangguhkan sebarang prosiding undang-undang terhadapnya.

“PNB telah dimaklumkan bahawa perintah mahkamah tersebut akan membolehkan SEB menyusun semula struktur modal dan meletakkannya pada kedudukan yang mampan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, PNB difahamkan SEB telah mengalami kesusahan kewangan akibat ketidaktentuan dalam industri minyak dan gas serta kesan daripada pandemik Covid-19.

Keadaan itu katanya telah menjejaskan prestasi kewangan syarikat tersebut sekali gus menyebabkan kecairan ketat yang berpanjangan serta pelbagai tindakan undang-undang oleh vendor dan pembekal akibat tunggakan pembayaran hutang.

Artikel Berkaitan: