Mohd Hairi tekad bangunkan BBU sebagai hab fesyen

Mohd Hairi (kanan) bersama-sama berdoa bersama pengundi DUN Larkin ketika kempen di Larkin, baru-baru ini.
Mohd Hairi (kanan) bersama-sama berdoa bersama pengundi DUN Larkin ketika kempen di Larkin, baru-baru ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Mohd Hairi Mad Shah bertekad untuk menjenamakan Bandar Baru Uda (BBU) sebagai salah satu hab fesyen terkemuka di negara ini.

Beliau berkata, ia berdasarkan potensi dan kedudukan kawasan berkenaan yang terletak di tengah-tengah bandar raya Johor Bahru selain akses yang begitu hampir dengan negara jiran, Singapura.

“Ini adalah salah satu teras yang saya telah rangkakan di bawah agenda pemerkasaan ekonomi bagi DUN Larkin. Untuk membantu meningkatkan pendapatan dan taraf hidup penduduk di kawasan ini.

“Kita melihat BBU mempunya potensi luas untuk dikembangkan memandangkan kawasan ini mempunyai akses daripada pelbagai kawasan termasuk Pasir Gudang, Iskandar Puteri dan Skudai.

“Kedudukan BBU yang merupakan kawasan tumpuan dalam Johor Bahru dan begitu hampir dengan Singapura juga memainkan peranan. Negara berkenaan mempunyai rangkaian fesyen yang terkini jadi ini satu peluang untuk kita mendahului dalam bidang fesyen negara,” katanya pada Sinar Harian di sini, pada Jumaat.

Mohd Hairi berkata, pembukaan fasiliti atau ruang perniagaan serba moden yang akan menbawa jenama-jenama besar antarabangsa juga dilihat mampu menjanjikan peluang kepada penduduk tempatan.

“Kenapa memilih fesyen? Ia kerana kita lihat BBU memang sudah menjadi pusat menjual pakaian, kita boleh lihat pada setiap musim perayaan orang akan memilih kawasan ini sebagai lokasi utama.

“Jadi sudah tiba masanya untuk kita tingkatkan BBU ini dengan membawa masuk pemain industri fesyen yang lebih besar. Semestinya usaha ini bukan sahaja untuk menambah peluang pekerjaan tetapi membantu orang kita sama-sama memasarkan jenama mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya juga akan memberikan tumpuan kepada usaha pemerkasaan generasi muda yang lebih berkesan dan boleh memberi manfaat.

“Di bawah tekad membangunkan belia yang berkualiti, saya akan memastikan orang muda di Larkin mempunyai fasiliti secukupnya untuk mereka melakukan riadah dan kegiatan ekonomi.

“Di masa sekarang juga, kita faham ramai orang muda melibatkan diri dalam bidang e-Hailing, jadi saya akan berusaha untuk membangunkan satu pusat yang selesa bagi golongan ini berkerja,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penyediaan kelas tuisyen secara dalam talian dengan percuma juga adalah janji yang mahu diberikan sekiranya dia dipilih menjadi wakil rakyat bagi kawasan berkenaan.

“Kita faham sekarang ini pendidikan adalah perkara utama, jadi kita mahu tiada siapa pun yang tertinggal untuk belajar meskipun mereka bukan daripada keluarga berkemampuan,” katanya.


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my