Tanah runtuh: Identiti lima mangsa dikenal pasti

Mohamad Farouk (kiri) ketika sidang media di Taman Bukit Permai 2 pada Jumaat.
Mohamad Farouk (kiri) ketika sidang media di Taman Bukit Permai 2 pada Jumaat.
A
A
A

AMPANG - Identiti lima mangsa yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 di sini pada Khamis telah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, empat mangsa disahkan maut iaitu Chong Siew Kim, 85, E Ramasamy, 58, A Mahendran, 36, dan Mohd Saiful Ridzuan Ishak, 37.

Menurutnya, seorang lagi mangsa cedera iaitu Cheng Kim Cheng, 85, masih menerima rawatan di Hospital Ampang Jaya.

"Proses pengecaman kesemua mangsa yang maut telah dilakukan oleh keluarga masing-masing," katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian pada Jumaat.

Jelasnya, proses bedah siasat melibatkan mangsa yang maut masih berjalan.

“Kes ini kita klasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Mohamad Farouk berkata, pihaknya akan menempatkan 30 pegawai dan anggota di lokasi kejadian bagi melakukan pemantauan tahap keselamatan melibatkan kediaman-kediaman yang dikosongkan.

Selain itu katanya, pondok polis juga dibuka di lokasi kejadian bagi memudahkan penduduk terjejas membuat laporan berkaitan kejadian tanah runtuh.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga menasihati penghuni rumah yang diarah berpindah membuat laporan untuk tujuan rekod dan dokumentasi.

“Penduduk boleh buat laporan polis di lokasi kejadian dengan bantuan pegawai dan anggota yang berada di lokasi,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, kesemua mangsa berjaya dikesan dengan pantas menggunakan tiga ekor anjing pengesan dari Unit K9.

Katanya, operasi berjalan lancar dan dalam tempoh lapan jam semua mangsa berjaya dibawa keluar.

"Seramai 127 anggota bomba terlibat dalam operasi kali ini," katanya.